fbpx
Azhan pada sidang akhbar pada Perbarisan Hari Tentera Darat ke-93 di Kem Perdana Sungai Besi hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/ KOSMO!

Anggota lakukan kekerasan tidak ‘layak’ jadi tentera – PTD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) akan memulakan siasatan berhubung insiden seorang anggota tentera cedera dipukul di Kem Tentera Batalion 25, Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Bentong, Pahang, Ahad lalu, sejurus suspek dibebaskan daripada tahanan reman.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md. Othman berkata, sebarang tindakan susulan, termasuk tatatertib akan diputuskan menerusi Lembaga Siasatan.

Menurutnya, suspek terlibat akan diasingkan dalam tahanan rapi dan ditempatkan di balai pengawal selepas dibebaskan bagi mengelak bercampur dengan anggota lain.

“TDM sudahpun menubuhkan Lembaga Siasatan yang akan memulakan prosedur sejurus suspek dibebaskan daripada tahanan reman. Tindakan tegas akan dikenakan ke atas suspek, jika didapati bersalah,” katanya pada sidang akhbar selepas Perbarisan Hari Tentera Darat Ke-93 di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, pihak tertinggi TDM sentiasa memantau dan tidak pernah berdiam diri terhadap sebarang salah laku membabitkan anggota atau pegawai.

“Seperti yang saya nyatakan tadi, ada segelintir kecil yang mungkin tidak dapat menahan emosi (sehingga melakukan kekerasan) dan mereka ini sebenarnya tidak sesuai berada dalam Tentera Darat,” ujarnya.

Mengulas keadaan Muhammad Amirul Raziq, katanya, mangsa masih belum stabil dan memerlukan sokongan bantuan hayat Hospital Termeloh.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang anggota tentera cedera parah dan tidak sedarkan diri selepas dipukul oleh seorang anggota tentera berpangkat koperal.

Dalam kejadian pukul 8 malam itu, mangsa dikenal pasti Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24, tidak sedarkan diri, manakala enam lagi anggota cedera.

TDM dilaporkan berkata, menerusi siasatan awal, seorang anggota anggota Pegawai Tidak Tauliah Rendah (PTTR) telah menampar dan menumbuk di bahagian muka dan perut anggota-anggota tersebut berikutan tidak berpuas hati dengan penugasan yang diarahkan.

Polis kemudian menahan seorang anggota tentera berpangkat koperal berusia 37 tahun bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, manakala suspek direman hingga Sabtu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN