PETALING JAYA – Seorang remaja meluahkan rasa terkilan apabila ibunya bertindak mendiamkan diri selama tiga hari selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diperoleh kelmarin tidak seperti yang dijangkakan keluarganya.
Menurut remaja berusia 18 tahun itu, dia berasa sedih dan tertekan kerana tidak mendapat sebarang A meskipun sudah berusaha sehabis baik.
“Saya sudah cuba yang terbaik, tetapi mungkin bukan rezeki untuk mendapat A. Saya hanya memperoleh keputusan 3B, 3C, 1D dan 1E. Sejak keputusan diumumkan, ibu langsung tidak bercakap dengan saya,” katanya dalam hantaran di Threads hari ini.
Jelasnya, situasi tersebut menyebabkan suasana di rumah menjadi tegang sekali gus menjejaskan emosinya.
“Saya faham ibu mungkin kecewa, tambahan pula saya anak sulung lelaki dan menjadi harapan selepas pemergian arwah ayah, tetapi cara ini (dipulau) buat saya rasa seperti tidak dihargai.
“Saya juga manusia biasa yang ada kelemahan,” luahnya.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai pengguna media sosial dengan sebahagian mereka menzahirkan rasa simpati dan menasihati golongan ibu bapa agar memahami tekanan yang dihadapi anak-anak.
“Anak sudah berusaha, itu yang lebih penting. Jangan hukum mereka hanya kerana keputusan tidak seperti diharapkan,” kata Rozel.
“Percayalah kepada anak, mereka mungkin tidak sehebat orang lain di peringkat sekolah, tetapi dalam dunia pekerjaan, merekalah paling kuat bertahan,” ujar Fadzli.
“Moga adik mampu membuktikan adik juga akan berjaya selepas ini, mungkin ibu kecewa. Jangan berhenti berusaha untuk membanggakan keluarga,” kata pengguna lain. – KOSMO! ONLINE














