fbpx
ROSAFINDI menunjukan gambar anaknya ketika ditemui di Temerloh hari ini.

Pukul anggota tentera: Jantung berhenti sejam, Amirul Raziq ditidurkan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEMERLOH – Seorang bekas anggota komando tidak menyangka keluhan anaknya yang menyatakan terlalu letih ketika menjalani latihan berakhir dengan kejadian tidak diingini apabila lelaki itu parah selepas dipukul sehingga koma.

Dalam kejadian kelmarin, mangsa, Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24, dipercayai dipukul seorang anggota tentera berpangkat koperal di sebuah kem tentera di Bentong sehingga tidak sedarkan diri.

Rosafindi Tambi Chik, 49, berkata, berdasarkan maklumat awal yang diterima daripada doktor, keadaan anaknya dilaporkan agak kritikal kerana jantung pemuda itu terhenti selama satu jam sebelum pulih selepas melakukan CPR secara berterusan.

Katanya, doktor turut memaklumkan disebabkan jantung terhenti terlalu lama, Amirul Raziq mengalami kekurangan oksigen ke otak sehingga menyebabkan kematian tisu otak.

Jelas lelaki itu, disebabkan itu, doktor mengambil keputusan menidurkan pemuda itu, tambahan pula mangsa mengalami kecederaan dalaman iaitu jantung membengkak disebabkan CPR berterusan.

“Mangsa pernah menyatakan dia berasa terlalu letih ketika menjalani latihan, namun tidak pernah mengadu perkara lebih berat.

“Saya difahamkan kejadian ini bukan prosedur tentera, tetapi lebih kepada tindakan individu yang mungkin menyalahgunakan pangkat. Pada pandangan saya, ini (kejadian) lebih kepada buli dan dilakukan dengan sengaja,” katanya.

Rosafindi berkata, sepanjang 26 tahun berkhidmat sebagai anggota komando, latihan ketenteraan tidak pernah mengajar anggota tentera untuk memukul atau mencederakan rakan sendiri.

“Kalau ikut prosedur, latihan hanya menguji mental dan ketahanan bukannya pukul, sepak sampai jadi begini (parah),” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN