JAKARTA – Penduduk di Lampung Tengah, wilayah Lampung terkejut apabila kain yang sering dibawa oleh seorang warga emas yang ditemui meninggal dunia, mengandungi sejumlah wang tunai, lapor portal berita Lambe Turah.
Mbah Saimah yang mengalami masalah mental itu meninggal dunia semasa mandi di sebatang sungai di daerah Trimurjo.
Seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Febby berkata, kain yang sering dibawa oleh arwah terjatuh ke dalam air.
“Apabila kain basah itu dibuka, orang ramai terkejut kerana mengandungi wang tunai yang banyak,” kata Febby.
Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @dek.r_ menunjukkan warga setempat sedang mengira wang kertas yang bernominasi antara 1,000 rupiah (RM0.23), 2,000 rupiah (RM0.47), 5,000 rupiah (RM1), 10,000 (RM2), 50,000 rupiah (RM12) dan 100,000 rupiah (RM24).
Jumlah wang tersebut mencecah berjuta-juta rupiah. Ia merupakan sumbangan yang diberikan kepada arwah semasa dia berjalan di sekitar Lampung.
Mayatnya telah dipindahkan oleh penduduk tempatan dan pihak berkuasa untuk dikebumikan. – AGENSI














