fbpx
Syed Faisal

Proton komited bangunkan ekosistem automotif Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Proton Holdings Berhad (Proton), anak syarikat DRB-HICOM Berhad mengesahkan semula komitmennya untuk memperkukuh ekosistem automotif Malaysia dan menyokong pembangunan jangka panjang di negara ini.

Pengerusi Proton yang juga merupakan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Tan Sri Syed Faisal Albar berkata, Proton ditubuhkan dengan tujuan membina keupayaan negara, dan tanggungjawab itu terus membimbing syarikat hari ini.

“Sebagai jenama automotif tempatan dengan lebih 40 tahun pengalaman memberi perkhidmatan kepada pemandu Malaysia, kami komited sepenuhnya menyokong aspirasi perindustrian dan mobiliti jangka panjang kerajaan dengan memperkukuh ekosistem automotif tempatan, membangunkan bakat, serta menyumbang kepada pertumbuhan industri yang mampan.

“Melalui kerjasama erat dan berterusan dengan kerajaan dan pihak berkepentingan industri, Proton akan terus memainkan peranannya dalam memastikan industri automotif Malaysia kekal relevan dan berdaya saing, seiring dengan perkembangannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Proton telah membuat pelaburan yang besar untuk menaik taraf keupayaannya, termasuk pengembangan kapasiti pengeluaran kenderaan dan tren kuasa di Tanjong Malim.

Ini termasuk pemasangan tempatan komponen kenderaan elektrik utama seperti Unit Pemanduan Elektrik dan Transmisi Hibrid yang menyokong rangkaian kenderaan elektrik syarikat, termasuk model hibrid dan elektrik.

Proton juga telah menubuhkan kilang pemasangan kenderaan elektrik (EV) khusus pertama di Malaysia.

Keupayaan pembuatan dan teknologi canggih ini diterajui oleh pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV), dengan Proton memainkan peranan penting dalam meletakkan AHTV sebagai hab kebangsaan untuk teknologi dan kenderaan generasi akan datang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN