fbpx
SUV e.MAS 7 membuktikan bahawa EV bukan lagi pilihan masa depan tetapi pilihan hari ini.

Uji pandu e.MAS 7, suspensi lembut, pecutan lancar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMUNCULAN kenderaan elektrik (EV) Proton e.MAS 7 bukan sekadar pelancaran model baharu tetapi simbolik perubahan gaya hidup.

Selepas sekian lama, rakyat Malaysia bergantung kepada kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE), langkah berani Proton memperkenalkan EV mampu milik ini dilihat sebagai titik perubahan penting dalam industri automotif tempatan.

Apa yang menjadikan e.MAS 7 begitu menarik adalah keseimbangan teknologi hijau, sifar emisi karbon, harga mesra poket serta identiti tempatan yang kuat.

Ia bukan sekadar EV tetapi satu kenyataan bahawa mobiliti masa depan tidak lagi eksklusif untuk golongan tertentu.

Dengan peningkatan kesedaran terhadap kos bahan api, kelestarian alam sekitar dan insentif kerajaan terhadap EV, e.MAS 7 muncul sebagai pilihan realistik bagi pengguna yang mahu beralih kepada EV tanpa kompromi besar dan ‘masuk akal’.

Penulis secara peribadi tertarik dengan rekaan e.MAS 7 yang tidak terlalu futuristik secara visual tetapi mempunyai pesona tersendiri.

Jadi tidak hairanlah, pelbagai kelompok masyarakat daripada wanita bekerjaya, lelaki maskulin, gadis periang mahupun profesional memilih EV e.MAS 7 sebagai kenderaan pilihan.

Terdapat lima warna menarik iaitu Platinum Silver (perak), Turqoise Green (hijau), Slate Grey (kelabu), Quartz Rose (merah jambu) dan Lithium White (putih).

Dimensi berstruktur menjadikannya mudah dipandu di bandar, namun masih cukup tegap untuk kelihatan premium.

Model kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik itu hadir dengan dua varian iaitu Prime pada harga RM109,800 dan Premium RM123,800 (atas jalan raya tanpa insurans).

Bagi kuasa pula, kedua-dua varian dipacu unit janaan kuasa yang sama iaitu motor elektrik tunggal ‘12 dalam 1’ yang memacu roda hadapan dengan output kuasa 160kW (218 PS) dan tork maksimum 320Nm.

Proton e.MAS 7 boleh memecut dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 6.9 saat dengan kelajuan maksimum 175 km/j.

Terdapat lima warna menarik yang ditawarkan antaranya Slate Grey.

Varian Prime dilengkapi pek bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) 49.52 kWh dengan jarak gerak sejauh 345km untuk sekali cas penuh, manakala varian Premium pula pek bateri 60.22 kWh yang membenarkan jarak gerak 410km.

Dilengkapi dengan rekaan bateri bilah pendek Aegis yang dibangunkan Geely, e.MAS 7 menyokong pengecasan AC 11 kW serta pengecasan pantas DC 80 kW bagi Prime dan 100 kW Premium di mana bateri boleh dicas 30 hingga 80 peratus sepantas 20 minit sahaja.

Varian Premium mendapat tambahan ciri bumbung kaca panoramik dan pintu tailgate (bonet belakang) automatik.

Penulis telah diberi peluang untuk memandu uji e.MAS 7 dan perjalanan bermula dari Shah Alam, Selangor melalui jalan bandar seterusnya ke Kuala Pilah, Negeri Sembilan bagi mendapatkan suasana jalan kampung.

‘Range anxiety’ bukan suatu masalah besar ketika memandu EV ini kerana jarak gerak ditawarkan cukup untuk suatu perjalanan tidak terlalu jauh dengan pemanduan kelajuan sederhana bawah 100km/j.

Dengan penambahan stesen pengecasan, EV ini sesuai untuk pengguna terutama yang melalui rutin laluan bandar dan pastinya penjimatan kos bahan api dapat dirasai.

Respons stereng e.MAS 7 memuaskan dan tidak memerlukan tenaga lebih ketika diputar, malah sistem suspensinya lembut.

Kamera 360 darjah berkualiti memudahkan untuk pemandu mengundur atau ke depan dengan yakin di laluan
sempit.

Olengan badan jentera ini ketika melalui selekoh agak stabil sekali gus memberi keyakinan kepada penulis ketika memandu pada kelajuan tinggi.

Tarikan lain SUV elektrik ini adalah dari segi saiznya yang praktikal untuk keluarga besar dengan konfigurasi lima tempat duduk.

Malah, e.MAS 7 menawarkan ruang kargo sebesar 461 liter atau sehingga 1,877 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Apa yang menarik, kemunculan varian terbaharu e.MAS PHEV pada 2026 tidak serta-merta mengalih perhatian pengguna, sebaliknya ramai yang masih memilih versi EV sepenuhnya.

Faktor utama adalah dari segi kos penyelenggaraan yang mana pemilik EV e.MAS 7 tidak lagi berdepan kos servis minyak enjin, spark plug atau sistem transmisi kompleks.

Selain itu, pengalaman pemanduan EV yang senyap dan responsif menjadi daya tarikan tersendiri.

Motor elektrik menghasilkan tork segera, menjadikan pecutan lebih lancar terutama dalam trafik bandar.

Aspek keselamatan tidak dilupakan, e.MAS 7 menawarkan Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS) Tahap 2 standard untuk kedua-dua varian.

EV ini berjaya mendapat penarafan lima bintang daripada Program Penilaian Kereta Baharu untuk Asia Tenggara (ASEAN NCAP).

Kesimpulannya, e.MAS 7 membuktikan bahawa EV bukan lagi pilihan masa depan tetapi sudah menjadi pilihan hari ini.

Kejayaan e.MAS 7 bukan sekadar tentang menjadi EV pertama nasional, tetapi model ini hadir dalam pakej lengkap dengan pengalaman pemanduan elektrik sebenar, harga mampu milik dan praktikal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN