RAUB – Kehilangan lima insan tersayang yang terkorban dalam tragedi kebakaran ketika umat Islam menyambut Ramadan lalu meninggalkan kesan mendapat buat dua beradik lebih-lebih lagi ketika orang ramai bergembira meraikan Syawal bersama ahli keluarga.
Tragedi di Kampung Pamah Kulat, Ulu Dong itu mengorbankan pasangan suami isteri Mohd. Alawi Muhammad, 56, isterinya Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, serta tiga anak perempuan mereka Ruby Adira Batrisya, 17, Ruby Adlina Banin, 14, dan Ruby Azyan Barizah, 10.
Dua lagi anak pasangan itu, Ruby Adalia Balqis, 19, dan Ahmad Balia Murqam, 15, terselamat kerana berada di asrama ketika kejadian berlaku.
Bapa saudara mereka, Mohd. Azmi Adam @ Ibrahim berkata, kedua-dua remaja itu masih berusaha menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu.
“Sejak kejadian itu, Ruby dan Ahmad Balia setiap hari menziarahi pusara ibu bapa serta tiga adik-beradik mereka di Tanah Perkuburan Islam Bukit Gelugor, di Kampung Pamah Kulat di sini,” katanya.
Mohd. Azmi berkata, perubahan paling ketara dapat dilihat kepada Ruby yang sebelum ini dikenali sebagai seorang yang ceria.
Katanya, sejak kehilangan ibu bapa dan tiga adik serentak, Ruby menjadi lebih pendiam dan banyak bersendirian.
“Dulu dia suka bercakap dan bergurau dengan keluarga, tetapi sekarang lebih banyak diam. Kami faham dia masih bersedih.
“Walaupun emosi masih belum stabil, mereka tetap berusaha meneruskan kehidupan dan memberi tumpuan kepada pelajaran masing-masing,” ujarnya.
Menurutnya, sambutan Aidilfitri kali ini sudah pasti menjadi detik paling sukar buat mereka kerana inilah kali pertama Ruby dan Ahmad Balia perlu menyambut hari raya tanpa ibu bapa dan adik-beradik.
“Saya percaya perkara pertama yang mereka mahu dilakukan ialah menziarahi kubur ibu bapa dan adik-beradik mereka pada pagi raya,” katanya.














