PETALING JAYA – Segelintir pengguna mengakui sudah mula merasai kenaikan harga barang apabila mendakwa terpaksa mengeluarkan duit lebih ketika berbelanja di pasar tani.
Menerusi perkongsian seorang pengguna di aplikasi Threads, individu tersebut mendakwa antara barangan yang mengalami kenaikan harga yang ketara ialah sayur-sayuran.
“Ngeri ye rasa lepas keluar dari Pasar Tani Tasik Sri Rampai, congak-congak habis (belanja) nak dekat RM200 lebih. Sayur ambik sejemput (jumlah kecil) pun saja dah RM50 lebih mengalahkan Ben’s and Village Grocer (pasar raya).
“Belum lagi harga barangan naik, harga (sayur) dah macam tu. Nak tahu juga, tolong kongsi pendapat jika pernah pergi ke pasar tani,” tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut berkongsi isu sama dengan ada yang mendakwa harga barangan di pasar tani lebih mahal berbanding pasar raya.
Turut meninggalkan komen seorang lagi pengguna yang mendakwa dia berkunjung ke pasar tani untuk membeli barangan basah seperti ayam dan ikan.
“Kalau barang kering dan sayur memang mahal,” katanya.-KOSMO! ONLINE














