ASPEN, COLORADO – Sebuah rumah di Aspen, negeri Colorado yang kelihatan kecil dari hadapan disenaraikan untuk dijual pada harga hampir AS$19 juta (RM75 juta), menyebabkan ramai orang mempersoalkan harga tinggi yang diminta, lapor akhbar New York Post semalam.
Kediaman di 227 E. Main St. itu sebaliknya mempunyai ruang kira-kira 353 meter persegi, termasuk empat bilik tidur dan enam bilik mandi, serta garaj berkeluasan 27.8 meter persegi.
Dari hadapan jalan, reka bentuknya menyerupai kabin pelombong.
Ejen pengiklanan firma AG Aspen, Alexandra George berkata, penampilan itu menjadi antara faktor yang mengundang kritikan di media sosial, serta menjelaskan bahawa rumah itu sebenarnya lebih besar daripada yang dipaparkan.
“Ini adalah projek yang mengambil masa lebih enam tahun. Ia adalah serba baharu, lokasinya sangat strategik . Terdapat banyak faktor yang menjadikan rumah ini benar-benar istimewa,” kata Alexandra.
Hantaran mengenai rumah itu menjadi tular di media sosial, dengan ramai pengguna meluahkan rasa terkejut mereka melihat harganya.
“Jika saya mempunyai wang, itu adalah rumah terakhir di dunia yang saya akan belanjakan untuk AS$19 juta,” kata seorang netizen. – AGENSI














