fbpx
Di Semenanjung, harga diesel diapungkan kepada harga pasaran lebih tinggi berbanding pengguna di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Diesel naik, rasa macam ‘kiamat kecil’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MUTAKHIR ini kenaikan harga minyak dunia mula memberi dampak ketara. Ia sekali gus mengakibatkan kos bahan api domestik turut meningkat. Dua hari sebelum lebaran harga diesel negara naik mencanak kepada RM4.72 seliter.

Di Semenanjung, harga diesel diapungkan kepada harga pasaran lebih tinggi berbanding pengguna di Sabah, Sarawak dan Labuan yang masih menikmati harga subsidi RM2.15 seliter. Kerajaan bertujuan meringankan beban kos sara hidup dan logistik yang tinggi di kawasan tersebut.

Pening kepala beraya dalam cuaca panas lebih hangat pijar lagi ketika mengisi diesel di pam minyak. Demikian ujar pengguna bahan api itu di Semenanjung.

“Di dalam air badan berpeluh,” tekan seorang rakan penulis yang penggemar muzik klasik memetik bait lagu Bunga Tanjung dendangan Biduanita Negara, Allahyarham Saloma.

Perlu kita faham kesan domino kenaikan ini bakal dan telah menyebabkan harga barang keperluan seperti makanan dan pengangkutan menjadi lebih mahal kerana kos logistik meningkat.

Negara berdepan tekanan inflasi, harga barangan dan perkhidmatan naik secara menyeluruh, sekali gus mengurangkan kuasa beli rakyat.

Di pihak kerajaan pula beban subsidi bakal bertambah berikutan negara perlu mengekalkan harga bahan api yang stabil. Ia menekan kedudukan fiskal serta meningkatkan perbelanjaan negara.

Sebagai pengeksport minyak, Malaysia mungkin mendapat hasil lebih tinggi, tetapi ketidaktentuan global memberi kesan bercampur. Sekiranya pelabur mengambil langkah berhati-hati maka ringgit boleh melemah.

Itu bacaan atas kertas. Rakyat sudah merasai sedikit demi sedikit ‘kiamat kecil’ sejak konflik di Asia Barat meletus. Penulis mahu ulas panjang lebar pun bukannya ‘ahli ekonomi’.

Bagaimanapun, ini kisah nyata. Ketika raya baru-baru ini terdapat saudara penulis mempunyai tiga kenderaan. Sebuah pikap dan dua kereta Perodua Myvi. Myvi itu kenderaan anak-anaknya yang digunakan untuk belajar di Lembah Klang.

Keluarganya besar jadi terpaksalah dia pergi beraya menggunakan dua Myvi tersebut.

Mungkin kita berasakan ini kelakar, namun sebenarnya rakyat sudah boleh mula merancang atau mengelakkan perjalanan yang tidak perlu dengan mengutamakan keperluan berbanding kehendak.

Bajet Ramadan sudah ‘sesak’, Syawal bakal bertambah ‘perit’ andai masyarakat gagal merancang kewangan.

Akhir tulisan, sama-sama kita doakan roh Allahyarham Md. Yusop Tompang yang merupakan bapa Pengarang Berita Kosmo!, Suhana Md. Yusop yang meninggal dunia semalam. Al-Fatihah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN