fbpx
Hasiah menunjukkan sebahagian daripada barangan keperluan yang digunakan selepas menerima duit Agihan Keuntungan Ladang Rakyat.

Agihan Keuntungan Ladang Rakyat jadi talian hayat warga emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PARIT – Seorang pesara Ladang Gugusan Lambor di Lambor Kiri di sini gembira kerana penat-lelahnya menabur bakti di tempat kerjanya dari usia muda sehingga bersara, kini menjana pulangan kepada dirinya saban tahun.

Hasiah Sudin, 78, berkata, sejak terpilih menjadi penerima Agihan Keuntungan Ladang Rakyat di bawah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) itu, dia menerima bantuan tunai one-off secara tahunan sejak beberapa tahun lalu.

Jelas wanita ini, bantuan tunai itu membolehkan dirinya untuk membeli barangan keperluan asas seperti beras, telur, minyak masak serta sardin yang digunakan sepenuhnya oleh dia dan ahli keluarga di kediaman mereka di Kg. Bakong di sini.

“Sebelum bersara dari Ladang Lambor, saya menjalankan pelbagai jenis kerja di sana terutamanya kerja-kerja ladang.

“Memang tak sangka selepas bersara pada 2010 saya terpilih untuk menerima Agihan Keuntungan Ladang Rakyat tersebut.

“Alhamdulillah, wang bantuan tunai itu dapat digunakan untuk kelangsungan kami anak-beranak di kampung ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini baru-baru ini.

Hasiah berkata, dua orang anaknya turut mencari rezeki di Ladang Gugusan Lambor, sekali gus membolehkannya tinggal berdekatan dengan mereka.

Bahkan, katanya, salah seorang anaknya itu turut tinggal bersama-sama dengannya di kediamannya di Kampung Bakong.

“Sejak bersama, saya tinggal berlima termasuklah cucu-cucu. Saya menghabiskan masa dengan menjaga mereka sejak bersara.

“Jadi bantuan kewangan menerusi Agihan Keuntungan Ladang Rakyat oleh Perak SADC ber­kenaan memang membantu kami terutamanya dalam aspek makan minum,” katanya.

Agihan Keuntungan Ladang Rakyat telah diperkenalkan pada 1991, bermula di Perak Tengah iaitu melibatkan kawasan Air Kuning, Bukit Tunggal dan Lambor, kemudian diperluaskan ke daerah Selama mulai 2001.

Program tersebut pada asalnya adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu masyarakat di sekitar ladang-ladang Perak SADC sahaja.
Bagaimanapun, pada tahun 2019, Agihan Keuntungan Ladang Rakyat telah diperluaskan merangkumi ke semua daerah di negeri ini.

Bantuan dihulurkan Perak SADC itu selari dengan sembilan agenda di bawah pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad iaitu membabitkan aspek kesejahteraan, keselamatan serta pembangunan dengan misi memacu pembangunan sosioekonomi yang mapan, inklusif dan dinamik. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN