PETALING JAYA – Juadah hari raya seperti ketupat, ketupat palas dan lemang sekiranya tidak dapat dihabiskan, ia boleh digoreng dan dihidang panas sekali gus boleh mengelakkan pembaziran atau dibuang begitu sahaja.
Difahamkan, ketupat dan lemang goreng itu popular dalam kalangan penduduk di Terengganu, malah hidangan sebegitu boleh dicicah dengan apa sahaja mengikut citarasa.
Seorang pengguna Thread Mimisaidi memuat naik hantaran hidangan ketupat dan lemang goreng yang turut menjadi kegemaran keluarganya.
“Kalau kat Terengganu, lemang dan ketupat tak habis, dia goreng je. Hidang panas-panas, ‘laku keras’ woo.
“Goreng rangup-rangup kena makan panas-panas. Kalau dah sejuk, jadi keras, liat. Kena pesan siap-siap cara makan, karang keras maghoh (marah) kita pulok (pula),” katanya.
Ia turut diakui seorang pengguna Thread Abi_anhk dan dia mendakwa, kebanyakan orang Terengganu menyukai makanan struktur rangup.
“Orang Terengganu lahir-lahir terus makan benda rangup. Kami tak suka benda lembik. Makan mi, nasi goreng, mi kari pun nak ada keropok keping. Jadi ketupat, lemang goreng bagi rangup. Ikan singgang pun, goreng dulu baru makan, nak bagi rangup kat luar,” katanya.
Pengguna Thread Krilmohammad memberitahu, dia tidak menunggu beberapa hari untuk menggoreng ketupat atau lemang.
“Tak tunggu habis baru goreng. Memang awal-awal dah goreng untuk makan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














