KOTA BHARU – Seorang wanita kehabisan wang untuk menyambut Aidilfitri kerana telah membelanjakan kesemuanya untuk berulang alik ke hospital bagi menjaga suaminya yang terlantar selepas menjadi mangsa langgar lari di Jalan Telipot di sini 22 Februari lalu.
Nur Mu’izzah Omar, 43, berkata, kehidupannya kucar kacir selepas suaminya, Mahyuddin Abdul Manal, 45, digilis sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Nissan Grand Livina hingga mengakibatkan tulang paha kaki kirinya hancur.
Katanya, kejadian berlaku ketika suaminya baru mengambil dua anak, Muhammad An Nafis, 11 dan adiknya berusia 10 tahun sebelum dirempuh.
Suaminya dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) yang terletak kira-kira enam kilometer dari rumahnya di Taman Guru, Pintu Geng di sini.
“Kejadian itu disaksikan oleh orang awam tetapi sampai sekarang pemandunya belum tampil walaupun saya sudah membuat hebahan di media sosial. Saya merayu pemandu itu tampil bagi membantu siasatan.
“Saya bukan sahaja kehilangan kudrat ketua keluarga, malah semua wang sudah habis dibelanjakan ketika ulang-alik ke HRPZ II. Tangan Muhammad An Nafis turut patah dalam kejadian itu,” katanya.
Menurut Nur Mu’izzah, mereka kini bergantung kepada wang sumbangan saudara mara dan rakan-rakan.
“Suami sudah dibedah untuk memasukkan skru dan perlu dibedah kali kedua tidak lama lagi,” katanya.
Bagaimanapun, Nur Mu’izzah menyatakan pembedahan itu menelan kos sebanyak RM5,000 dan buntu kerana tiada wang sebanyak itu.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan terus bantuan ke akaun Maybank milik Nur Mu’izzah, 153104110954 atau hubunginya di talian 019-949 3673.






