HARIMAU Malaya hampir pasti gagal melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2027 selepas kehilangan enam mata apabila dikenakan hukuman oleh Jawatankuasa Tatatertib dan Etika Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Keputusan pemotongan mata itu membabitkan perlawanan menentang Nepal dan Vietnam apabila kemenangan dibatalkan ekoran menurunkan pemain tidak layak serta didapati melanggar Artikel 56 Kod Tatatertib & Etika AFC.
“Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menerima keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC yang bersidang pada Selasa, 17 Mac 2026 (semalam) berkaitan kes menurunkan pemain yang tidak layak.
“Sehubungan itu, Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC telah membuat keputusan bahawa Malaysia diisytihar kalah dengan jaringan 3-0 pada kedua-dua perlawanan tersebut berdasarkan Artikel 25.1 Kod Tatatertib & Etika AFC.
“Selain itu, FAM turut dikenakan hukuman denda sebanyak AS$50,000 (RM196,119),” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh FAM.
Pada aksi dengan Nepal di Stadium Sultan Ibrahim pada 25 Mac tahun lalu, Harimau Malaya menang 2-0 dan mengatasi Vietnam 4-0 pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, 10 Jun lepas.
Keputusan itu menyaksikan skuad negara kini berada di kedudukan kedua kekurangan enam mata berbanding Vietnam yang muncul pendahulu menjelang aksi terakhir hujung bulan ini sekali gus gagal layak apabila juara kumpulan sahaja bakal mara.
FAM akan membuat permohonan bertulis bagi mendapatkan alasan keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC sebelum mempertimbang langkah seterusnya yang akan diambil berhubung perkara ini.
Sebelum ini, Malaysia dipalit dengan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.














