Berdepan cabaran getir berniaga bukan sahaja dihadapi syarikat perusahaan kecil, sederhana dan mikro tetapi juga mereka yang berniaga secara sambilan dengan niat untuk menambah duit poket sempena bulan Ramadan dan Syawal.
Tetapi faktor cuaca yang tidak menentu, persaingan sengit terutama jualan murah di platform online dan juga penjimatan perbelanjaan pelanggan membuatkan ada yang ‘sakit’ untuk memperoleh keuntungan, malah ada yang terpaksa menanggung kerugian.
Bagi mereka yang berniaga di bazar Ramadan tahun ini, mungkin ada yang mengeluh kepenatan mencari rezeki lebih untuk persiapan raya dan ada juga yang peniaga yang sudah mengira untuk membayar imbuhan kepada pekerja yang bersengkang mata dan berhabis keringat membantu meningkatkan jualan harian.
Ini perkara biasa adat berniaga di bulan puasa tetapi jangan serik untuk berniaga lagi termasuk berniaga di festival raya yang menjadi tumpuan pada hujung-hujung Ramadan.
Berniaga bukan sekadar pasang khemah, beli stok dan menjual tetapi kena ada strateginya sendiri, malah bagi peniaga yang berpengalaman, dia sudah membuat perancangan enam bulan sebelum itu untuk membuat persiapan agar segalanya berjalan lancar sekali gus memperoleh keuntungan.
Bagi mereka yang masih berasa gundah gulana, bimbang duit raya tak cukup lagi dan persiapan balik kampung terpaksa ditunda buat sementara waktu, apa kata anda membuat persiapan khususnya yang terlibat dalam bidang makanan dan minuman untuk berniaga pada pagi raya kedua atau ketiga dan seterusnya.
Pencarian nasi lemak dalam kalangan pengguna pastinya meningkat kerana makanan utama seperti lemang, ketupat beserta rendang dan nasi impit kuah kacang hanya ‘laku’ pada malam raya dan juga hari raya pertama.
Mungkin juga pada malam raya pertama ada yang sudah mencari burger yang dijual di tepi jalan, tomyam, nasi goreng dan yang pastinya nasi lemak di pagi hari.
Apa yang pastinya, ramai orang akan berkunjung menikmati makanan ayam goreng berjenama utama, mencari minuman viral dan kopi di outlet selain ‘lepak di kedai mamak’ kerana mahu ubah selera.
Bagi memenuhi keperluan tersebut, buat persiapan dari awal ke pasar untuk membeli barangan basah untuk menyediakan nasi dan juga lauk pauknya yang mana tetap ada jualan rendang ayam, daging dan kerang, paru bercili dan lebih menarik ada juga ayam goreng berempah.
Susun strategi mencari tenaga kerja untuk membantu pada hari dan minggu awal beraya itu dengan ganjaran duit raya lumayan untuk menarik ramai anak muda bekerja sambilan.
Simpan dulu hajat untuk balik ke desa sendiri atau ke kampung isteri, beri penerangan kepada keluarga sebab musabab tidak dapat bercuti panjang, malah momen bersama itu boleh direalisasikan lagi dalam tempoh sebulan beraya.
Kena kreatif untuk mencari rezeki, cari peluang ketika ramai yang seronok beraya kerana ini adalah masa yang sesuai untuk menampung semula perbelanjaan yang masih berkurangan.
Dalam kesibukan persiapan itu, pastikan juga makanan yang dijual pastinya enak-enak belaka, muka sentiasa manis melayan kerenah pelanggan dan bukan sekadar masak dan yang penting, menjual pada harga yang munasabah bukan untuk kaut untung semata-mata.
















