GUA MUSANG – Perantau yang akan pulang ke Kelantan sempena Hari Raya Aidilfitri boleh menarik nafas lega apabila laluan sementara projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3B dan 3C berhampiran Taman Wangi di sini yang sebelum ini rosak akhirnya siap dibaiki dan kembali dibuka kepada semua kenderaan hari ini.
Pembaikan laluan tersebut disiapkan tepat pada masanya sekali gus memberi kelegaan kepada orang ramai terutamanya perantau yang dijangka mula pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri beberapa hari lagi.
Seorang pengguna jalan raya, Muhamad Abdul Hafiz Yaacob, 25, berkata, keadaan laluan tersebut sebelum ini agak membimbangkan kerana permukaan jalan rosak dan berlubang sehingga menyukarkan perjalanan terutama pada waktu malam.
Katanya, kerja pembaikan yang siap sepenuhnya itu memberi kelegaan kepada penduduk tempatan yang melalui laluan berkenaan setiap hari untuk urusan kerja dan menghantar anak ke sekolah.
“Penduduk perlu menggunakan laluan alternatif lebih jauh dan terpaksa menempuh kesesakan setiap kali waktu puncak sepanjang lapan hari jalan ditutup untuk kerja pembaikan.
“Alhamdulillah, perjalanan lebih lancar dan selamat. Ramai pengguna yang lega kerana laluan ini penting untuk orang ramai terutama menjelang musim perantau pulang beraya,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Datuk Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, kerja pembaikan yang dilaksanakan berjaya memulihkan laluan tersebut dan kini boleh digunakan seperti biasa oleh kenderaan ringan seperti kereta dan motosikal.
Katanya, kerja pembaikan melibatkan penurapan baharu di laluan berkenaan bagi memastikan permukaan jalan lebih selesa dan selamat digunakan.
“Selain itu, laluan tersebut juga dilengkapi palang bagi mengelak kenderaan berat melalui kawasan berkenaan serta pemasangan lampu jalan untuk meningkatkan tahap keselamatan pengguna terutama pada waktu malam,” katanya. – KOSMO! ONLINE














