RAMADAN sering digambarkan sebagai bulan ibadah dan keberkatan.
Namun bagi ramai wanita, Ramadan juga hadir bersama keletihan yang tidak terlihat dalam mengurus rumah tangga, menyediakan juadah berbuka, mengimbangi kerjaya serta tetap berusaha menunaikan ibadah dengan sempurna.
Dalam diam, Ramadan sering menjadi medan yang menguji keikhlasan, kesabaran dan kekuatan jiwa seorang wanita.
Menyedari hakikat itu, seramai 250 peserta hadir dalam program Ramadan Seorang Wanita, sebuah majlis yang memberi ruang kepada kaum Hawa untuk berhenti sejenak daripada kesibukan, merawat jiwa dan kembali menyusun kekuatan rohani sepanjang bulan Ramadan.
Program di Putrajaya yang dianjurkan Sanggul Event di bawah kelolaan Zawiah Aziz itu bertujuan membantu wanita memahami bahawa Ramadan bukan sekadar bulan ibadah ritual, tetapi juga ruang untuk menyuburkan ketenangan jiwa, memperkukuh emosi serta memperbaharui hubungan dengan Allah SWT.
Zawiah berkata, program tersebut lahir daripada kesedaran bahawa wanita juga memerlukan ruang untuk memulihkan diri daripada keletihan emosi dan tekanan kehidupan.
“Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga bulan penyembuhan jiwa.
“Kami mahu wanita yang hadir pulang dengan hati yang lebih tenang, kuat dan lebih dekat dengan Allah,” katanya kepada K-Wanita.
Majlis turut dihadiri beberapa tetamu kehormat antaranya kerabat diraja Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; para kenamaan seperti Datin Seri Hamidah Khamis dan Datin Amar Nazatul Shima.
Menurut Zawiah, pelbagai pengisian diadakan sepanjang program termasuk perkongsian rohani yang disampaikan oleh Ustazah Nazirah Abu Bakar.
Menerusi perkongsian tersebut, penceramah mengupas makna kesabaran, keikhlasan dan ganjaran Ilahi melalui tadabbur Surah Al-Insan.
Menurut Ustazah Nazirah, surah tersebut mengangkat kisah insan yang berbuat kebaikan dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan balasan manusia.

“Surah Al-Insan mengajar kita bahawa kebaikan yang dilakukan dengan ikhlas, walaupun kecil dan tersembunyi, tidak pernah sia-sia di sisi Allah.
“Ramadan mengajar kita bahawa setiap penat, pengorbanan dan kesabaran yang dilakukan kerana Allah akan diganti dengan ganjaran yang jauh lebih besar,” katanya.
Selain pengisian rohani, program turut menampilkan pengamal perubatan, Dr. Sakinah dari Klinik Anda Wangsa Melawati yang berkongsi pendekatan perubatan dalam memahami emosi dan kesihatan mental wanita.
Sakinah menekankan bahawa menjaga emosi adalah sebahagian daripada amanah menjaga diri yang dituntut dalam Islam.
“Kesihatan emosi bukan tanda kelemahan, tetapi tanda bahawa kita manusia yang memerlukan penjagaan.
“Ramadan memberi peluang untuk kita memperlahankan langkah, memahami diri dan merawat luka yang mungkin lama kita pendam,” ujarnya.
Ramadan Seorang Wanita juga dilihat berjaya membuka ruang refleksi kepada para peserta bahawa menjadi wanita bukan sekadar memikul tanggungjawab, tetapi juga sebuah perjalanan jiwa yang memerlukan kekuatan iman, keseimbangan emosi dan sokongan masyarakat.
Program itu turut mendapat sokongan beberapa rakan strategik yang memainkan peranan penting dalam menjayakan penganjurannya.
Antaranya Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Kencana Event, Zara Awliya, Mootiara, TWKMY Holiday Sdn Bhd, Nims, Rehla Sdn. Bhd. dan Ilham Muslimah.
Di akhir program, Ustazah Nazirah turut bersama tetamu dan menandatangani buku hasil tulisannya bertajuk Kita Sedang Sembuh yang dijadikan cenderamata khas kepada mereka yang hadir.
















