TELUK INTAN – “Kami hantar dia ke Kolej Vokasional pada Ramadan 2024, Ramadan kali ini kami bawa dia pulang (dalam keadaan tidak bernyawa).”
Begitu luahan bapa Adham Faisal, 18, pelajar Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan yang maut selepas lehernya terkena sabit dibawa seorang lelaki warga asing ketika menunggang motosikal di Jalan Kampung Batu 4, Selabak di Teluk Intan semalam.
Menurut Faisal Abd. Aziz, 53, anak ketiga daripada enam adik-beradik itu sepatutnya pulang pada Selasa depan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama keluarganya.
“Dia ada menghubungi kami agar mengambilnya pulang pada Selasa depan untuk cuti Aidilfitri, malah pakaian raya pun telah dibeli sedondon dengan tema keluarga iaitu biru tua,” katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita di Hospital Teluk Intan semalam sebelum jenazah Adham dibawa pulang ke kampung halaman di Kampung Sungai Layar, Sungai Petani untuk pengebumian.
Menurut Faisal, dia dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa Allahyarham oleh anak perempuannya sekitar pukul 9 pagi yang menghubunginya dalam keadaan menangis sebelum memaklumkan berita tersebut.
Faisal berkata, dia menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal Abidin berkata, dalam kejadian itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian leher, manakala rakan mangsa berusia 17 tahun cedera di tangan dan kini sedang menerima rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE














