SUNGAI PETANI – Seorang lelaki berusia lewat 20-an maut akibat ditetak berulang kali di hadapan rumahnya di Taman Kempas, di sini tengah malam tadi.
Kejadian yang berlaku antara pukul 12 tengah malam hingga 2 pagi itu turut mengakibatkan adik perempuannya cedera parah dengan tangan hampir putus.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, mangsa lelaki maut di tempat kejadian akibat ditetak berulang kali di hadapan rumahnya.
“Susulan kejadian itu, kita berjaya menahan tiga suspek iaitu dua lelaki dan seorang wanita dengan terdapat suspek yang tinggal di kawasan perumahan sama. Kejadian bukan disebabkan mabuk.
“Kita berjaya merampas beberapa senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan dan mangsa maut juga dibawa ke hospital sama untuk proses bedah siasat.
Tiga suspek yang diberkas direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 dan 326 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE














