SEBERANG PERAI – Dua pekerja taska direman selama tujuh hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan kes kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan di sebuah taska dalam kawasan Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini, kelmarin.
Tempoh reman sehingga 16 Mac ini terhadap suspek wanita berusia 22 tahun itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Roshayati Radellah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, sebentar tadi.
Sementara itu, beberapa ahli keluarga suspek dilihat menunggu di luar pekarangan mahkamah dan ada yang tidak dapat menahan kesedihan sejurus melihat suspek digari dan dibawa masuk ke dalam van polis.
Terdahulu, media melaporkan seorang bayi berusia empat bulan, Hayl Haarith Mohd. Syafaeez, meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di sebuah taska yang terletak dalam kawasan Hospital Seberang Jaya sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan, kelmarin.
Susulan insiden berlaku, dua suspek wanita yang juga pekerja taska telah ditahan petang semalam. Difahamkan, kejadian tersebut turut dirakam menerusi rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dalam taska terbabit. – KOSMO! ONLINE














