Saudara Pengarang,
Ramai pencarum teruja apabila ditawarkan peluang melabur di luar menggunakan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Janji pulangan tinggi dan keuntungan berganda, namun hakikatnya, tidak semua pelaburan luar memberi hasil seperti diharapkan. Ada yang berakhir dengan kekecewaan apabila pulangan tidak setimpal, malah mengalami kerugian.
Saya sendiri melabur puluhan ribu ringgit, namun dalam tempoh lima tahun selepas tahun pertama, saya rugi antara 10 peratus hingga 28 peratus.
Setelah catat keuntungan biarpun 5 peratus selepas enam tahun, saya tidak tunggu lama, terus masukkan semula duit pelaburan itu ke dalam KWSP.
Sebaliknya, jika wang itu kekal dalam KWSP, dividen yang diumumkan setiap tahun terbukti lebih konsisten dan kompetitif, malah tidak pernah rugi.
Walaupun mungkin tidak menjanjikan pulangan luar biasa, kestabilan dan rekod prestasi jangka panjangnya memberi ketenangan kepada pencarum.
Akhirnya, pengalaman kerugian selama lima tahun menjadi pengajaran paling mahal.
Menyimpan terus di KWSP mungkin kelihatan biasa, namun kestabilan dan keselamatannya jauh lebih bernilai untuk masa depan yang lebih terjamin.
Kamil Hasan
Pulau Pinang














