fbpx
MALAYSIA tidak pernah gagal beraksi di pentas Piala Dunia sejak kali terakhir terlepas slot berkenaan pada edisi 2010. - FIH

Speedy Tigers hampiri Piala Dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SKUAD hoki lelaki negara semakin menghampiri sasaran utama untuk beraksi di pentas Piala Dunia apabila bangkit menewaskan China 5-4 sekali gus menempah tiket separuh akhir saingan Kelayakan Piala Dunia 2026 di Ismailia, Mesir kelmarin.

Kemenangan dramatik itu turut melegakan ketua jurulatih negara, Sarjit Singh yang memuji semangat juang pemain selepas bangkit daripada ketinggalan untuk memastikan tiga mata penting milik Speedy Tigers.

Menurut Sarjit, anak buahnya menunjukkan karakter sebenar apabila tidak mudah mengalah meskipun ketinggalan 1-2 sebelum berjaya kembali menguasai permainan dengan empat jaringan penting.

“Saya fikir pemain beraksi dengan baik. Mereka gunakan peluang yang ada dengan baik. Ketika ketinggalan 1-2, pemain bangkit semula dan berjaya menjaringkan empat gol, yang merupakan satu perkara positif,” katanya.

Sarjit menambah, pergerakan bola yang lebih kemas turut membantu pasukan mengawal tempo permainan selain membuktikan kesungguhan pemain untuk memburu kemenangan penting tersebut.

“Pemain menggerakkan bola dengan baik dan saya rasa pasukan benar-benar mahu menang. Kami tahu ini adalah kemenangan yang sangat penting buat kami,” jelasnya.

Sarjit turut menegaskan skuad negara hadir ke kejohanan tersebut dengan satu misi jelas iaitu memastikan tiket ke pentas Piala Dunia menjadi milik Malaysia.

Mengulas aksi separuh akhir menentang juara Kumpulan A, England tengah malam esok, Sarjit menjangkakan perlawanan sukar menanti namun percaya anak buahnya mampu memberikan tentangan sengit.

“England bukan lawan yang mudah. Ia pasti akan menjadi perlawanan yang sangat sukar, tetapi kami akan cuba melakukan yang terbaik,” ujarnya.

Tambahnya, pasukan akan menggunakan tempoh rehat bagi menjalani sesi pemulihan ringan sebelum membuat persiapan rapi menjelang aksi penting tersebut.

Sebagai rekod, tujuh pasukan terbaik daripada dua kejohanan kelayakan akan mara ke Piala Dunia 2026 yang bakal dianjurkan bersama oleh Belgium dan Netherlands dari 14 hingga 30 Ogos depan, dengan Malaysia kini semakin hampir merealisasikan sasaran tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN