fbpx
FITRI Saari (kiri) meledak satu gol menerusi penalti stroke ketika tewas 3-5 kepada Pakistan malam kelmarin. - FIH

Misi hidup mati The Speedy Tigers

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SKUAD hoki lelaki negara menggalas misi cukup penting apabila wajib mencatat kemenangan ke atas China sekiranya mahu melangkah ke separuh akhir pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 di Ismailia, Mesir hari ini.

Selepas mencatat satu kemenangan dan satu kekalahan dalam dua aksi terdahulu, Malaysia tidak memiliki pilihan selain membenam China pada aksi terakhir Kumpulan B bagi mengiringi Pakistan ke separuh akhir.

Ketua jurulatih skuad Speedy Tigers, Sarjit Singh menegaskan, ada beberapa aspek permainan perlu diperbaiki anak-anak buahnya menjelang perhitungan penting itu, terutamanya dari segi pertahanan dalam kawasan D.

“Bagi saya, kita perlu menampilkan aksi lebih baik dalam kawasan D kerana kita memberikan gol yang sangat mudah kepada Pakistan. Menjelang aksi menentang China, pertahanan dalam kawasan D sangat penting.

“Memang tidak cara lain selain mencatat kemenangan ke atas China. Malaysia perlu menewaskan China sekiranya mahu melayakkan diri ke pusingan separuh akhir,” kata bekas pengendali Pasukan Hoki Terengganu (THT) itu.

Malaysia terpaksa menerima hakikat berada dalam situasi sukar itu selepas tewas 3-5 kepada Pakistan malam kelmarin biarpun menang 6-1 ke atas Austria pada aksi pembukaan Ahad lalu.

Tambah Sarjit, kekalahan kepada Pakistan adalah disebabkan pemain-pemain negara gagal untuk memanfaatkan peluang melakukan jaringan biarpun dihadiahkan enam pukulan sudut penalti (PC) sepanjang perlawanan tersebut.

“Secara keseluruhan, pemain-pemain menampilkan aksi cukup baik tetapi kita tidak menggunakan peluang yang ada sebaiknya untuk menjaringkan gol. Kita ada peluang menang tetapi penyudah menyebabkan kita kecewa,” ujarnya.

Sementara itu, Sarjit juga mungkin tidak kekal lama bersama Speed Tigers memandangkan Jun tahun lalu beliau menyatakan kesediaan untuk meletakkan jawatan seandainya gagal mengemudi pasukan negara ke Piala Dunia 2026 di Belgium dan Belanda Ogos depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN