BUKIT KAYU HITAM – Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir nyaris terkena tembakan yang dilepaskan ke arahnya dalam kejadian di sini pada pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 5.40 pagi itu berlaku ketika Mohd. Nasaruddin dalam perjalanan ke sebuah masjid untuk menunaikan solat subuh dengan memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) X70.
Beliau bagaimanapun terselamat apabila dua tembakan yang dilepaskan salah seorang daripada dua suspek menaiki sebuah motosikal tersasar.
Tembakan terkena pada pintu penumpang belakang sebelah kanan dan pintu penumpang hadapan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, pihaknya melakukan siasatan secara menyeluruh termasuk meneliti televisyen litar tertutup (CCTV) di kawasan terlibat.
“Dua suspek itu menaiki sebuah motosikal dan memakai topi keledar berpenutup penuh dan bertindak melarikan diri ke arah kawasan perindustrian berhampiran sejurus kejadian.
“Ketika kejadian lampu motosikal tersebut juga dipadamkan,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.
Kata beliau, lokasi tembakan terletak kira-kira satu kilometer dari Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam. – KOSMO! ONLINE














