fbpx
NORAZLINA dan suaminya menjual produk menerusi live TikTok ketika ditemui di rumahnya di Sungai Buloh baru baru ini. –ISKANDAR ISHAK

‘Walaupun OKU, kami enggan bergantung zakat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI BULOH – Sepasang sua­mi isteri orang kurang upaya (OKU) membuktikan kekurangan fizikal bukan alasan untuk mereka berpeluk tubuh dengan mengharapkan belas ihsan daripada orang lain.

Norazlina Zakaria, 43, meng­alami lumpuh selepas terbabit da­lam kemalangan jalan raya pa­da 2007, manakala suaminya diuji masalah sama pada 2014 setelah terjatuh dari tingkat dua sebuah bangunan.

Menurut Norazlina, sebelum ini dia dan suaminya mencari re­zeki dengan mengutip barangan yang boleh dikitar semula seper­ti tin minuman, kotak dan besi buruk di tong roro serta kawasan longkang sebelum beralih dengan menjual barangan semasa siaran langsung (live) di TikTok.

“Kami menjual minyak wangi, minyak aromaterapi, minuman kesihatan, produk penjagaan diri dan barangan keperluan harian menerusi siaran langsung di TikTok sejak tahun lalu.

“Bagi saya, kerja ini lebih fleksibel kerana tidak terikat dengan ja­dual tetap memandangkan saya perlu menjaga suami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Amansari di sini baru-ba­ru ini.

Sumber rezeki baharu itu dilakukan pasangan tersebut sejak tahun lalu bagi menambah pendapatan selepas Norazlina diuji dengan masalah kesihatan lain apabila dia perlu menjalani pembedahan membuang rahim pada tahun 2020.

NORAZLINA menunjukkan barangan kitar semula yang diserahkan pihak lain kepadanya untuk dijual bagi menambah pendapatan.

Suaminya pula disahkan mem­punyai tumor pada batang otak pada 2022 sebelum menja­lani pembedahan pada penghujung tahun 2023.
Pasangan suami isteri itu turut memakai tiub yang digunakan untuk meminum susu melalui hidung.

“Walaupun berniaga online, sa­­ya masih menjual barangan ter­­pakai, cuma bukan dengan ca­­ra keluar rumah, tetapi ada in­­dividu dikenali yang mengumpulkan barang tersebut sebelum menyerahkannya kepada saya,” katanya.

Cerita Norazlina, dia pernah membuat keputusan untuk tidak memperbaharui bantuan zakat kerana merasakan masih ramai individu di luar sana yang lebih memerlukan.

“Selagi saya boleh mengutip barang, saya akan buat. Saya tidak mahu berasa selesa dengan bantuan, saya mahu berusaha selagi terdaya,” ujarnya.

Pasangan suami isteri itu menyimpan impian besar untuk memiliki kediaman sendiri berikutan kadar sewa rumah yang semakin meningkat dan membebankan kewangan mereka.

“Kalau ada rumah sendiri, le­bih mudah untuk menguruskan kami berdua, tidak perlu risau kadar sewa yang makin naik atau terikat dengan syarat-syarat tertentu,” katanya yang mengasaskan Rumah Harapan Nuraafiyah bagi membantu mereka yang senasib dengannya pada tahun 2018.

Norazlina berharap dia dapat menyediakan kediaman yang selamat untuk menempatkan pesakit atau individu kurang bernasib baik yang memerlukan perlindu­ngan.

“Impian saya cuma nak ada rumah sendiri, bukan untuk kami beruda, tetapi untuk mereka yang kami jaga. Ada tempat ber­teduh yang kekal,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN