KUALA NERUS – Seorang suri rumah di Seberang Takir di sini tidak menjadikan perkongsian resipi Ramadan pempengaruh terkenal, Khairul Aming atau KA sebagai juadah berbuka puasa keluarga semata-mata, malah sebagai sumber pendapatan sampingan.
Hazwani Hamdan, 36, berkata, dia memberanikan diri menjual menu berdasarkan beberapa menu dikongsi KA di media sosial sejak 1 Ramadan lalu seperti ayam sos plum, puding karamel, ayam pop dan ayam peri-peri.
“Pada mulanya, saya cuma kongsi hidangan ayam sos plum KA yang menjadi setelah dicuba di media sosial sebelum ramai kenalan mahu membelinya.
“Berikutan permintaan itu, saya pun membuka tempahan, tak sangka sambutan memberangsangkan dan tidak henti-henti setiap hari sehingga hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui di rumahnya di Seberang Takir di sini semalam.
Hazwani menetapkan dua menu Ramadan KA terutama yang terkini dikongsi usahawan muda tersebut untuk jualan setiap hari sejak 1 Ramadan lalu.
Ibu kepada tiga anak tersebut berkata, setiap kali KA memuat naik resipi terbaharu, dia akan terus membeli bahan dan mencuba sebelum membuka tempahan kepada pelanggan.
“Saya tidak menjualnya dalam jumlah banyak, maksimum 20 bekas bagi setiap menu setiap hari.
“Ia sesuai dengan kemampuan saya dan niat mencari rezeki sampingan pada bulan Ramadan ini,” katanya.
Hazwani berkata, kebanyakan pelanggannya dalam kalangan kenalan, jiran-jiran dan penduduk sekitar daerah ini dan Kuala Terengganu.
Katanya, rata-rata pelanggannya berpuas hati dapat menikmati resipi Ramadan KA air tangannya tanpa perlu mencuba sendiri kerana kekangan masa atau bimbang tidak menjadi.
“Saya memang gemar memasak, sebelum ini pun memang selalu ambil tempahan makanan secara kecil-kecilan.
“Kepuasan berjaya mengikut resipi Ramadan KA dapat, begitu juga pendapatan sampingan untuk buat tambah perbelanjaan persiapan raya anak-anak,” katanya.














