fbpx
Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Ibu Tunggal (Hajah Kamariah) di Taman Medan, Petaling Jaya disemarakkan dengan aktiviti tadarus pada bulan Ramadan. – Foto SYAKIR RADIN

Cahaya Ramadan di ‘rumah persinggahan’ Taman Medan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALUNAN ayat suci al-Quran memecah keheningan pagi Ramadan di sebuah rumah kebajikan yang terletak di tengah kawasan perumahan Taman Sri Medan, Petaling Jaya, Selangor.

Bukan sahaja para ibu dari kejiranan berkumpul untuk bertadarus, malah kelihatan juga remaja dan kanak-kanak yang hadir dengan penuh semangat membaca al-Quran dan mengikuti kelas Qiraati.

Tempat yang menjadi saksi suasana penuh keberkatan ini ialah Persatuan Rumah Kebajikan Anak-anak Yatim dan Ibu Tunggal (Hajah Kamariah) yang berperanan sebagai pusat persinggahan serta pembelajaran komuniti.

Berbeza dengan rumah anak yatim yang menyediakan asrama, anak-anak di sini masih tinggal bersama ibu atau bapa masing-masing di sekitar Taman Medan (kawasan perumahan lebih luas termasuk Taman Sri Medan).

Mereka hanya datang selepas sekolah untuk mengikuti kelas al-Quran, tuisyen dan aktiviti pembangunan sahsiah, manakala ibu tunggal hadir bagi mendapatkan sokongan sosial serta bantuan harian.

Salah seorang remaja, Nur Haq Ramli, 17, yang kehilangan bapanya pada usia empat tahun, mengikuti pelbagai aktiviti keagamaan sehingga berjaya khatam al-Quran di rumah kebajikan ini.

“Saya mengikuti kelas mengaji setiap hujung minggu dari pukul 8 pagi hingga sekitar 11 atau 12 tengah hari, selain menghadiri ceramah ustaz.

“Pada bulan Ramadan, saya datang berbuka puasa, menunaikan solat tarawih, qiamullail dan bersahur di rumah ini.

“Saya mula menyertai rumah ini sejak usia 10 tahun dan aktiviti di sini banyak membentuk keperibadian saya seperti sekarang,” katanya kepada K-Remaja.

Sebahagian daripada anak-anak yatim di samping Noorsidah (tengah).

Disebabkan kelas mengaji dan pelbagai aktiviti di rumah itu, Nur Haq yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik bercita-cita untuk menjadi ustaz.

Pelajar tingkatan lima SMK Taman Dato’ Harun itu mahu berkongsi ilmu agama, khususnya kepada anak-anak senasibnya suatu hari nanti.

Aktiviti tersebut dilihat mampu berperanan sebagai pengganti sosok bapa dalam memberikan ilmu dan bimbingan agama yang diperlukan oleh seorang anak.

Nur Haq berharap melalui usaha dan ilmu yang diperolehnya, dia dapat menjadi sumber inspirasi serta pembimbing kepada generasi akan datang.

KONGSI Nur Haq, saban tahun akan ada anak-anak yatim baharu yang mendapatkan khidmat rumah kebajikan itu.

“Setiap tahun akan ada anak-anak yang kehilangan ibu atau bapa dan mereka akan didaftarkan di rumah tersebut agar hidup lebih terarah.

“Oleh itu, saya berharap dapat melakukan perkara sama kepada anak-anak senasib saya apabila dewasa nanti,” katanya.

Persatuan Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Ibu Tunggal (Hajah Kamariah) ini menyediakan tempat untuk anak-anak yatim ini singgah seketika untuk menimba ilmu atau melakukan aktiviti.

Ia dilihat dapat meringankan bantuan ibu atau bapa tunggal dalam menanggung beban kewangan atau bergelut mencari nafkah dan dalam masa yang sama dapat memastikan anak-anak terbimbing.

Selain ilmu agama, Persatuan Rumah Kebajikan Anak-anak Yatim dan Ibu Tunggal (Hajah Kamariah) juga sering menerima kehadiran pihak universiti untuk menjalankan aktiviti bersama anak-anak yatim.

Aktiviti ini, sama ada diadakan di rumah kebajikan atau di universiti, sekali gus mendedahkan mereka kepada pelbagai peluang dan pengalaman yang mampu memperluas pemikiran serta membentuk pandangan terhadap masa depan.

Momen menyeronokkan anak-anak yatim semasa rombongan ke Melaka.

Menurut seorang lagi remaja yang juga anak yatim, Tiara Nathania Imani Iskandar Zulkarnain, 15, pengalaman mendengar ceramah keusahawanan membuatkannya bercita-cita menjadi usahawan suatu hari nanti.

Anak sulung daripada dua beradik itu berharap dapat menerokai bidang teknologi dan membina kerjaya sebagai usahawan dalam bidang tersebut.

“Saya kehilangan ayah pada usia 11 tahun. Sebagai anak sulung, saya mahu menjadi contoh yang baik kepada adik dan terus bercita-cita tinggi.

“Pendedahan yang saya peroleh melalui pusat kebajikan ini membantu saya melihat potensi yang lebih luas serta peluang yang menanti di luar sana,” katanya.

Pusat kebajikan ini juga menganjurkan lawatan atau rombongan dua tahun sekali agar anak-anak dapat merasai pengalaman percutian seperti sebuah keluarga.

Terbaharu, mereka mengadakan lawatan Hari Sukan di Melaka serta bercuti di Pulau Pangkor, Perak dengan menaiki bas dari Kuala Lumpur.

Mereka bukan sahaja bercuti bersama rakan-rakan lain, malah turut disertai ibu atau bapa masing-masing.

Percutian sedemikian turut menjadi sinar buat Nur Asyera Mohd. Azwan, 15, yang mempunyai empat adik-beradik berdaftar di bawah rumah kebajikan tersebut.

“Ibu saya melakukan pelbagai pekerjaan bagi menyara kami. Jadi jika keluar pun, kami hanya berpeluang pulang ke kampung atau berjalan-jalan di pusat beli-belah sahaja.

“Sebaliknya, percutian sebegini memberi peluang kepada kami merasai pengalaman bercuti yang lebih bermakna,” katanya.

Untuk makluman, Persatuan Rumah Kebajikan Anak-anak Yatim dan Ibu Tunggal (Hajah Kamariah) diasaskan oleh Kamariah Lasim pada tahun 1987.

Sejak sembilan tahun lalu, pusat itu diteruskan dan diuruskan oleh anak perempuannya, Noorsidah Yahya selepas ibunya meninggal dunia.

Uniknya, anak-anak yatim yang diterima hanyalah penduduk Taman Medan yang meliputi kampung lama, perumahan kos sederhana serta beberapa blok pangsapuri di kawasan itu.

Selain itu, ibu atau bapa tunggal perlu menyediakan dokumen seperti kad pengenalan dan sijil nikah berserta sijil lahir atau MyKid anak. Rumah anak yatim tersebut pernah menampung sehingga 60 orang anak yatim pada satu-satu masa, namun kini had penerimaannya dikurangkan kepada 40 orang sahaja.

Bangunan dua tingkat yang diwakafkan itu sebelum ini berfungsi sepenuhnya kini hanya digunakan pada bahagian bawah untuk aktiviti.

Jelas Noorsidah, mereka memilih konsep pusat persinggahan berbanding asrama penuh kerana tidak mahu memisahkan hubungan ibu dan anak.

“Pada tahun pertama, arwah ibu saya pernah melaksanakan konsep asrama seperti rumah anak yatim lain, tetapi ibu anak-anak yatim ini selalu datang menjenguk anak mereka selepas pulang dari kerja.

“Dari situ, kami merasakan tidak wajar untuk memisahkan ibu dan anak. Mereka mungkin telah kehilangan bapa, tetapi masih boleh memperoleh kasih sayang ibu.

“Kami tetap menyediakan sokongan yang diperlukan, terutama ketika ibu mereka bekerja agar anak-anak ini tidak hilang arah dan terjebak dalam pergaulan tidak sihat,” katanya.

Walaupun berdepan cabaran mendapatkan dana bagi meneruskan usaha tersebut, Noorsidah tetap berpegang pada pesan dan amanah arwah ibunya.

Dirinya perlu memastikan bayaran ustaz yang datang mengajar dilunaskan, perbelanjaan sekolah disediakan dan makan minum anak-anak yatim tidak pernah terabai.

Kini, Noorsidah berhasrat membuka semula kelas tuisyen yang dihentikan sejak pandemik pada 2020.

Namun, kekangan utama ketika ini ialah mendapatkan tenaga pengajar serta dana untuk membayar khidmat mereka.

“Saya berhajat membuka semula semua kelas tuisyen agar anak-anak ini mendapat sokongan pembelajaran di luar sekolah untuk membantu mereka dalam akademik.

“Kami tidak mengamalkan sistem sukarelawan sepenuhnya. Kebiasaannya, kami melantik guru untuk mengajar supaya pembelajaran lebih terarah.

“Jadi, kami akan terus berusaha mendapatkan dana agar perkara tersebut dapat dilaksanakan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN