fbpx
Keadaan trafik sesak di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam menghala Thailand kelmarin. – FOTO AKPS BUKIT KAYU HITAM

Sempadan sesak, jarak 3km ke Danok sampai dua jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKIT KAYU HITAM – Seramai 25,206 pelancong dari Malaysia direkodkan bercuti ke Thailand menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam sejak Khamis lalu hingga kelmarin.

Mereka membanjiri negara jiran itu sempena cuti sekolah dan Tahun Baharu Cina untuk mengunjungi lokasi-lokasi menarik termasuk di Hatyai walaupun bandar itu belum pulih sepenuhnya daripada banjir besar tahun lalu.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, pergerakan pelancong ke Thailand menunjukkan peningkatan.

Katanya, pada Khamis lalu merekodkan 5,926 orang, manakala Jumaat seramai 8,371 orang dan kelmarin pula menca­tatkan 10,909 pelancong.

“Kenderaan juga sesak dari pukul 6 pagi hingga 2 petang.

“Mungkin ramai yang mahu meluangkan cuti di beberapa lokasi di Thailand seperti Hatyai, Krabi dan sebagainya,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Sebahagian rakyat Malaysia yang masuk ke Thailand untuk bercuti dan menjamu selera dengan menaiki van shuttle ke Danok kelmarin.

Pemandu van ulang-alik Bukit Kayu Hitam ke sempadan Malaysia-Thailand di Danok, Azizan Kasim berkata, pihaknya terpaksa mengambil masa kira-kira dua jam untuk perjalanan sejauh kira-kira 3 kilometer ke Danok pagi kelmarin kerana trafik terlalu sesak.

“Semalam banyak kenderaan berat, ditambah dengan kereta orang awam yang berpusu-pusu ke Thailand.

“Jumlah orang yang masuk Thailand meningkat pada cuti kali ini kerana cuti hujung ming­gu yang panjang bersambung dengan Tahun Baharu China dan sambutan Ramadan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kea­daan trafik semalam tidak sesak seperti kelmarin kerana tidak banyak kenderaan berat.

“Hari ini (semalam) banyak juga kenderaan yang ke Thailand dan ramai juga yang naik pengangkutan van shuttle (ulang-alik ke sempadan) ini ke Danok.

“Kalau naik van shuttle ini le­bih cepat kerana ada laluan khas, hanya semalam sesak teruk sebab ‘tersangkut’ dengan ken­deraan berat,” ujarnya.

Katanya, sudah ramai yang masuk ke Thailand termasuk Hatyai kerana keadaan di sana semakin pulih selepas terjejas teruk akibat banjir pada November tahun lalu.

Sementara itu, menurut ­Ilanee Nadiratul Ismara Ismail, 34, dari Kuala Lumpur, dia pulang bercuti di kampung halaman di Jitra dekat sini dan mengambil kesempatan ke Danok untuk menjamu selera.

“Saya sembilan sekeluarga termasuk tiga anak dan ibu masuk ke Danok untuk makan sahaja, petang ini balik ke Malaysia.

“Ibu saya ada ke Hatyai baru-baru ini dan beritahu keadaan tidak meriah seperti dahulu, selain itu risau juga sebab saya bawa tiga anak kecil, takut pe­nyakit lepas banjir,” katanya.

Tinjauan semalam juga mendapati banyak kumpulan konvoi bermotosikal menuju ke Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam untuk ke Thailand.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN