DUA hari lagi rutin kejut anak untuk bersahur pun bermula. Sebulan lamanya kita akan berpuasa sebelum Syawal diraikan bersama.
Saban tahun orang Islam berpuasa, tetapi masih lagi tewas kepada nafsu. Sebelum Ramadan lagi ramai dalam kalangan kita sudah menempah untuk berbuka di hotel dan restoran.
Ada yang sanggup menabung sejak awal tahun untuk menikmati makanan hotel. Premis makanan tidak putus-putus membuat promosi untuk mendapatkan keuntungan dengan kedatangan Ramadan.
Pasal makan kita sanggup berhabis atas alasan hanya Ramadan sahaja makanan tertentu dibuat dan dijual. Sebelum berbuka kita merasakan semua makanan enak dan lazat tetapi selepas makan, semuanya jadi biasa sahaja. Nafsu menang lagi.
Skrip Ramadan semestinya sama seperti selalu. Masjid akan dipenuhi pada awalnya, semakin kurang di pertengahan dan apabila akhir hanya imam dan bilal akan bertarawih. Ini antara skrip lucu yang biasa diucapkan oleh penceramah.
Sebahagian pula beriya mahu buat tanda pagar #donetarawih, #doneiftar, #donesahur di media sosial. Mesti kena tunjuk sebab kalau tidak buat begitu, orang tidak tahu apa yang kita lalui sepanjang hari.
Ikhlas tolak tepi yang penting tunjuk pada orang dulu demi kemasyhuran. Trend ini bukan sahaja menjangkiti Gen Z, tetapi turut merebak kepada orang tua yang turut ketagih bermain TikTok. Itu bab puasa. Bila sudah diumumkan penampakan anak bulan Syawal, secara automatik suasana bertukar ceria.
Baju apa yang akan dipakai oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pun jadi bahan untuk diteka. Ibadat puasa sama ada sempurna atau tidak bukan lagi keutamaan kerana yang penting kita mahu meraikan hari raya.
Membuat video berjoget dengan lagu raya terkini sudah menjadi lumrah. Siapa paling kreatif sudah pasti FYP (For You) seperti yang berlaku tahun lalu pada lagu Serumpun nyanyian Shamimi Amalina Norisham atau Mimi Fly.
Ada yang kata biarlah raya setahun sekali, tetapi pada hakikatnya kita sudah jauh daripada tuntutan agama ketika meraikan Aidilfitri. Raya hanya sehari sahaja dan selepas itu kita digalakkan untuk berpuasa enam bermula 2 Syawal.
Adat itu diamalkan di mana bumi kita berpijak. Tetapi agama diamalkan seperti disyariatkan walaupun di pelosok dunia mana kita berada.
Balik kampung antara agenda wajib ketika raya. Kepada yang suka bergaya dan mendapat perhatian, sudah pasti mahu memandu pulang kereta baharu untuk dipertontonkan kepada orang kampung.
Sewa atau beli belakang cerita asalkan pertemuan setahun sekali itu mahu dijadikan antara momen terindah, OOTD (outfit of the day) dan modal untuk bersembang.
Apapun, keselamatan dan kesihatan diri perlu diutamakan. Jalan raya mesti sesak apabila sebanyak lebih tiga juta kenderaan dijangka memenuhi lebuh raya utama dan sambungan di seluruh negara.
Ramadan tahun ini kita cuba berpuasa seperti ahli khawas pula ya. – KOSMO! ONLINE
















