KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak berhasrat memperkenalkan dasar mengehadkan jumlah kenderaan sebagai langkah mengurangkan kesesakan trafik, khususnya di Lembah Klang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah mitigasi tetap dilaksanakan terutama pada musim perayaan, namun pertambahan kenderaan yang berterusan memberi cabaran besar kepada sistem jalan raya sedia ada.
Menurut beliau, sebanyak 820,000 kenderaan direkodkan terjual dalam negara tahun lalu, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap infrastruktur trafik.
“Jika diperkenalkan dasar seperti ‘end of life vehicle’, ia berpotensi menimbulkan implikasi lain termasuk bantahan dan aduan daripada pelbagai pihak.
“Buat masa ini tiada dasar khusus untuk mengawal jumlah kenderaan. Namun dalam jangka panjang, perkara ini perlu diteliti secara menyeluruh bagi memastikan pertambahan dapat diurus secara lebih mampan.
“Tahun lepas Malaysia menjadi pasaran kenderaan yang paling besar di seluruh Asia Tenggara walaupun jumlah penduduk kita hanya lebih 30 juta, kita jual kereta lebih banyak daripada Indonesia dan Thailand,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis edaran pek cenderahati kepada penumpang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026 di KL Sentral, di sini hari ini.
Anthony berkata, pihaknya akan terus memperkukuh sistem pengangkutan awam sebagai alternatif utama kepada rakyat, termasuk mempercepatkan pembukaan Laluan LRT 3 yang dijangka beroperasi dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Kita mahu memberi pilihan kepada rakyat. Bukan tidak mahu membuka lebih awal, tetapi semua prosedur dan ujian wajib dipatuhi demi keselamatan,” jelasnya.
Sementara itu, bagi perayaan Tahun Baharu Cina sebanyak tiga set perkhidmatan tren elektrik (ETS) yang baharu akan ditambah.
“KTMB juga akan menyediakan 16 trip perkhidmatan ETS tambahan menjadikan jumlah keseluruhan perkhidmatan ETS yang beroperasi sepanjang tempoh perayaan ini adalah sebanyak 58 trip sehari.
‘Ini termasuk tambahan dua trip ke Padang Besar dengan jumlah tempat duduk yang ditawarkan sebanyak 5,040 yang mana penjualan tiket telah dibuka pada pukul 12.15 tengah malam tadi bermula 15 Februari sehingga 22 Februari 2026 menggunakan set ETS ke-8,” katanya. – KOSMO! ONLINE














