PETALING JAYA – Satu produk pelembut fabrik dijual di Arab Saudi mencuri perhatian orang ramai apabila ia turut menawarkan wangian ‘Malaysia’ kepada para pembeli.
Menerusi video TikTok dikongsikan oleh @Muhammad Amran Azizan iaitu seorang rakyat Malaysia yang tinggal di Arab Saudi, dia menemui pelembut fabrik jenama Sarbex dengan pilihan wangian ‘Malaysia’ itu sewaktu berkunjung ke Makkah Supermarket di Riyadh.
“Saya berada di seksyen pelembut kain. Saya punya tengok ada pewangi Feeling, Taif Roses, Sea Breeze, Orchid, Pomegranate. Tiba-tiba ada bau Malaysia, macam mana bau Malaysia ni. Sesiapa rindu Malaysia, boleh lah beli ni,” katanya pada video berkenaan.
Menerusi ruangan komen, Muhammad Amran turut membalas pelbagai pertanyaan orang ramai yang bertanya mengenai wangian ‘Malaysia’ itu.
“Wangi, bau segar macam bau waktu pagi di Malaysia. Pada rakyat Malaysia yang rindukan Malaysia, dapat bau pun boleh hilangkan kerinduan,” katanya.
Hantaran itu mendapat pelbagai maklum balas daripada pengguna TikTok, malah ada juga yang berseloroh meminta lelaki itu untuk menjualnya masuk ke negara ini.
“Rupa-rupanya negara kita ada bau ek,” komen pengguna TikTok @Anggerik.
“Ya bang, saya dah kerja duduk oversea (luar negara) 10 tahun lebih. Malaysia memang ada bau spesifik unik kepada Malaysia. Keluar dari kapal terbang kat KLIA dan keluar terminal saja dah boleh bau. Bau unik dan sedap,” kata seorang lagi individu.
“Selalu kita cari bau Mekah dan Madinah. Ini kali bau Malaysia. Tahniah Malaysia, rasa dihargai,” komen pengguna TikTok @Mecca Medina.
Komen tersebut diakui seorang pengguna TikTok @Nana yang menceritakan pengalaman dilalui ibunya apabila melancong ke luar negara.
“Mak saya pun cakap begini. Dia pergi India dan dia cakap ada bau tersendiri. Macam bau kat sana, bukan bau busuk, tapi macam tanah dekat sana atau keadaan semula jadi kawasan sana. Keluar saja dari kapal terbang dah boleh bau. Kat mana-mana dia turun, mesti ada bau tersendiri negara yang dia pergi,” katanya. – KOSMO! ONLINE
@muhdamranazizan Pelembut kain bau Malaysia ? #malaysia #malaysiatiktok #bahasarab #fyp ♬ Cool Attitude (Vox) – Ah2














