fbpx
Pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga, Faridah bangkit membantu wanita-wanita lain serta banyak melakukan kerja-kerja kebajikan di dalam dan luar negara sehingga dianugerah Wanita Ikon Johor 2024/2025 dan terbaharu Ikon Wanita Antarabangsa oleh kerajaan Singapura.

Bangkit dari kisah air mata, Faridah dianugerah Ikon Wanita Antarabangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“PENDIDIKAN awal saya banyak membentuk siapa diri saya hari ini, terutama dalam aspek empati dan kepimpinan berteraskan nilai.

“Bagi saya, membentuk manusia bukan sekadar menyampaikan ilmu tetapi membina akhlak dan keyakinan diri.

“Titik tolak sebenar atas apa yang saya lakukan ketika ini bermula apabila melihat sendiri bagaimana ramai wanita terperangkap dalam kitaran ketakutan dan ketidakberdayaan.”

Demikian mukadimah aktivis dan pejuang hak wanita serta kebajikan keluarga Datuk Faridah P Hamsa, 43, ketika memulakan bicara bersama K-Wanita mengenai apa yang diperjuangkan.

Aktif membantu kebajikan golongan wanita dan keluarga terpinggir di negara ini sejak lebih sedekad lalu menerusi pertubuhan bukan kerajaan diasaskannya, Permata Baiduri, pelbagai pengiktirafan pernah dinobatkan kepada bekas guru agama dan juga usahawan ini.

Dua tahun lalu, Faridah pernah dinobatkan Wanita Ikon Johor 2024/2025 sebagai penghargaan kerajaan negeri menerusi pencapaiannya dalam kerja-kerja kebajikan serta program-program keusahawanan yang pernah dijalankan dan memberi impak tinggi.

Hujung tahun lalu, sekali lagi wanita kelahiran Johor Bahru yang juga banyak beramal untuk Palestin ini mendapat pengiktirafan. Kali ini daripada kerajaan Singapura menerusi anugerah Wanita ikon Antarabangsa yang melibatkan calon-calon hebat dari seluruh Asia.

Anugerah tersebut diberikan kepada anak kedua daripada lapan beradik ini atas kejayaannya melaksanakan pelbagai kerja kebajikan dalam dan luar negara serta berjaya menjalinkan jaringan usahawan berprofail tinggi.

“Saya sendiri pernah melalui fasa sukar dalam kehidupan termasuk pengalaman keganasan rumah tangga.

“Ia bukan sesuatu yang mudah untuk dikongsikan, namun saya percaya luka yang sembuh boleh menjadi kekuatan dan inspirasi untuk membantu orang lain.

“Daripada pengalaman itu jugalah, saya berazam untuk tidak lagi menjadi mangsa keadaan, sebaliknya menjadi suara kepada mereka yang tidak mampu bersuara,” katanya bersemangat.

PELBAGAI program berkaitan wanita, kebajikan, kempen kesedaran serta bantuan dijalankan Permata Baiduri meliputi dalam dan luar negara.

Jelasnya, kerja-kerja kebajikan yang dilakukan kerana ingin mendapat reda dan kasih sayang Allah kerana dia percaya manusia yang memberi manfaat kepada orang lain, Allah akan sayang.

Mengenai pengiktirafan dan anugerah diterima termasuk penghargaan daripada kerajaan Palestin tiga tahun lalu atas kejayaannya mendapatkan penajaan dan menghantar bekalan keperluan harian ke Gaza selama sebulan, Faridah menyifatkan ia sebagai satu amanah daripada Allah.

“Sebetulnya setiap yang saya buat semuanya saya ikhlaskan dari hati.

“Saya cuma berharap Allah yang balas. Akan tetapi, bila Dia kurniakan semua ini (anugerah), saya anggap sudah tiba masa untuk saya membuka balutan hadiah di sebalik derita dan kisah air mata yang berlaku dalam hidup sebelum ini.

“Di sebalik setiap pentas dan trofi, ada kisah air mata, pengorbanan dan doa yang tidak pernah putus,” katanya.

Tambahnya, setiap anugerah bukanlah kemuncak kejayaan tetapi amanah yang lebih besar diberikan Allah kepadanya.

Sehingga hari ini, Faridah masih aktif menyertai dan menjalankan pelbagai program kebajikan dan bantuan tidak kira dalam dan luar negara menerusi Permata Baiduri.

Menjadi seorang wanita bekerjaya pada masa sama menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin, isteri dan ibu dalam keluarga bukanlah tugas mudah dan ia diakui wanita yang suka aktiviti berkebun sebagai salah satu terapi hidup ini.

Jelasnya, bagi memastikan tanggungjawab sebagai wanita bekerjaya, ibu dan juga seorang anak selain pemimpin persatuan dan pada masa sama usahawan, dia senantiasa meminta ibunya mendoakan agar dicukupkan masa.

“Pada masa sama, saya minta ibu doakan saya agar urusan dan niat saya dipermudah agar saya juga dapat memudahkan urusan orang lain yang lebih memerlukan.

“Oleh kerana kerjaya saya tidak memerlukan masa yang terikat dan saya pula sudah terbiasa uruskan keluarga seorang diri dan tidak dibantu bekas suami, jadi saya boleh susun masa,” katanya.

Berkongsi cabaran lain dalam kerja-kerja kebajikan dilakukan, Faridah mengakui kebijakan mengurus tekanan emosi terutama kes-kes sensitif antara yang menjadi dugaan.

“Mengurus mangsa keganasan memerlukan kekuatan mental yang tinggi dan saya kena ada kekuatan itu.

“Macam-macam kes pernah saya hadap. Saya sendiri pernah menjadi salah seorang mangsa keganasan jadi saya tahu betapa perit dan sakitnya apa yang dihadapi wanita atau mangsa tersebut,” tuturnya.

Selain itu, isu kekangan dana dan birokrasi perjuangan sosial sering berdepan cabaran dari segi sumber pendapatan dan prosedur.

“Jika diizinkan Allah, saya mahu bangunkan sebuah pusat sokongan wanita yang lebih tersusun dan berstruktur di peringkat nasional termasuk program pemulihan ekonomi dan kaunseling bersepadu.

“Impian besar saya mahu melihat wanita bukan sekadar bangkit, tetapi berdikari dan dihormati,” katanya.

Berkongsi mengenai perniagaan dan program-prorgam keusahawanan yang pernah dijalankan, wanita yang terlibat dengan pelbagai cabang bisnes termasuk pertanian, penternakan, perikanan, kontraktor, produk kecantikan, logistik dalam dan luar negara, restoran serta kedai kain ini ada visi dan misinya tersendiri.

Menurutnya, dia juga pernah mendapat pengiktirafan tiga kali dalam Malaysia Book of Records atas kejayaan menjalankan program keusahawanan dengan penglibatan usahawan teramai beberapa tahun lalu.

“Saya mengimpikan untuk jalankan semula program sedemikian rupa dan aktif kembali menerusi pelbagai penglibatan badan bukan keraajan berkaitan usahawan di negara ini.

“Saya ingin sediakan modul buat wanita di luar sana agar bersedia menjalani hidup mengikut arus ekonomi dengan kaki sendiri.

“Saya juga dalam perancangan untuk melaksanakan lebih banyak kempen kesedaran kepada wanita terutama yang pernah terlibat dengan keganasan rumah tangga agar terus bangkit dan membina hidup baharu,” katanya.

Mengakhiri perkongsian, Faridah berpesan sekiranya mahu berjaya, seseorang itu tidak perlu pandai dan hanya perlukan keberanian. Ujarnya, lebih baik mencuba daripada tidak buat langsung.

Akuinya, sampai ke saat ini, dia sendiri tidak pernah menyangka akan sampai ke tahap ini.

“Bangkit dengan beremosi zahirkan pada tempatnya. Buktikan kepada mereka di luar sana bahawa anda bukan wanita biasa-biasa.

“Anda bukan wanita yang lemah. Hidup cuma sekali, maka buatlah apa yang nak dibuat dan lakukan dengan niat yang betul, selebihnya serah kepada Maha Kuasa,” akhirinya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN