JOHOR BAHRU – Tular rakaman video televisyen litar tertutup (CCTV) kejadian buli melibatkan beberapa remaja di Jalan Mewah, Kampung Melayu Majidee, di sini tengah malam kelmarin.
Menurut saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Misbahul, 29, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 12.35 tengah malam, dia dan isteri sedang menonton televisyen di rumah.
“Saya terdengar suara seperti budak tengah mengerang seolah-olah mulutnya ditekup, saya cuba jenguk dekat luar rumah tapi tak nampak apa-apa.
“Lepas itu saya buka rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan baru nampak ada kelibat budak-budak dan nampak macam cahaya api.
“Saya terus buka pintu dan tengok budak-budak dah angkat mangsa, lepaskan ikatan dan melarikan diri,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, susulan kejadian itu, dia menghubungi polis dan memaklumkan kejadian itu sebelum sepasukan polis tiba di lokasi kejadian bagi melakukan siasatan.

Menurutnya, kejadian itu dipercayai dilakukan empat remaja berusia lingkungan antara 13 hingga 15 tahun dan mangsa seorang kanak-kanak.
“Sebenarnya banyak kejadian melibatkan kacau ganggu dan ketenteraman awam dicetuskan si pelaku di kawasan rumah di sini.
“Sebab itu saya pasang CCTV untuk merakam dan mencari bukti supaya boleh diberikan kepada pihak berkuasa. Dan kali ini sudah ada bukti, saya serahkan rakaman CCTV berkenaan kepada pihak polis,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, polis sedang menyiasat kejadian tersebut dan sudah mengesan suspek dan mangsa terlibat.
Terdahulu, menerusi video CCTV berdurasi 23 saat yang tular menunjukkan kejadian berlaku pada tengah malam melibatkan sekurang-kurangnya empat kanak-kanak melakukan kejadian itu ke atas mangsa yang disyaki juga kanak-kanak lelaki.
Kelihatan pantulan cahaya api dipercayai disembur ke arah mangsa yang terbaring dalam keadaan tangan terikat.
Tidak lama kemudian, tiga daripada mereka mendekati mangsa yang terbaring sebelum mengangkat mangsa dalam keadaan lemah.














