BAU – Kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) intelektual yang hilang dari rumahnya di Kampung Tembawang Sauh, di sini petang semalam ditemui dalam keadaan selamat sebentar tadi.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd. Haide A. Rahman berkata, Kelvin Martin Beger diyang berusia tujuh tahun dijumpai pada pukul 2.30 petang oleh pasukan mencari dan menyelamat.
“Mangsa dijumpai di tepi sungai pada jarak dua kilometer dari rumahnya dalam keadaan badan berbalut daun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, katanya, kehilangan kanak-kanak itu dilaporkan oleh ibunya yang berusia 45 tahun kira-kira pukul 6.30 petang semalam selepas pencarian anak bongsunya itu bersama penduduk gagal menemui Kelvin.
Wanita tersebut menyedari kehilangan anak kelapannya yang juga murid tahun satu di Sekolah Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Jugan, Bau pada pukul 1.39 tengah hari. – KOSMO! ONLINE














