PETALING JAYA – Harga emas yang pernah melonjak sehingga RM700 segram pada awal tahun ini kini menjunam ke RM500 segram, sekali gus mendorong orang ramai menyerbu kedai barang kemas untuk membeli sebelum harga kembali naik.
Penurunan harga emas sejak beberapa minggu lalu, susulan konflik di Asia Barat, turut dimanfaatkan perantau untuk membeli barang kemas semasa pulang ke kampung menyambut Aidilfitri.
Di Ipoh, tinjauan di beberapa kedai emas di Little India Ipoh, Jalan Lahat mendapati, premis tersebut menjadi tumpuan penggemar barang kemas untuk menambah koleksi baharu.
Pengarah Urusan DSA Jewellers, Datuk Amaluddin Mohammed Ismail berkata, penurunan harga emas kepada RM500 segram yang direkodkan kelmarin memberi lonjakan ketara kepada sambutan pelanggan di kedainya.
Katanya, situasi itu berbeza berbanding dua bulan lalu apabila harga bagi satu gram emas mencecah RM700.
“Ketika harga emas naik, perniagaan memang agak perlahan dan tidak ramai pelanggan datang. Sekarang, apabila harga mula turun, kedai kembali dipenuhi pelanggan sehingga kami tidak menang tangan melayan.
“Keadaan ini memberi kelebihan kepada peniaga kerana aliran tunai dapat digerakkan semula, selain membantu orang ramai membeli emas pada harga mampu milik,” katanya.

Menurutnya, penurunan harga emas ketika ini patut diambil sebagai peluang untuk orang ramai membeli barang kemas sama ada sebagai koleksi baharu mahupun pelaburan
“Jika harga emas turun lagi, saya rasa tidak turun terlalu banyak, sebaliknya harga emas berpotensi meningkat semula.
“Dengan harga emas sekitar RM500 segram, ia dikira cukup murah dan berbaloi untuk membeli,” katanya.
Di Kota Bharu, tinjauan Kosmo! di beberapa kedai emas di Pasar Besar Siti Khadijah mendapati, kebanyakan gerai dipenuhi pelanggan yang ingin membeli emas baharu selain menjual emas terpakai.
Seorang peniaga emas di Dhiya Gold, Hidayah Yusoff berkata, premisnya diserbu pelanggan terutamanya perantau bermula Khamis minggu lalu iaitu dua hari sebelum hari raya.
Katanya, harga emas semasa semalam bernilai RM555 segram, sekali gus mencatatkan penurunan ketara apabila nilai jualan pernah melebihi RM620 segram pada awal Februari lalu.
“Lebih 50 pelanggan beratur untuk membeli pelbagai jenis barang kemas. Kebanyakan mereka beli emas baharu kerana harganya jatuh ketika ini.
“Tidak sampai seminggu, premis saya sudah jual lebih 100 unit barang kemas pelbagai corak yang dianggarkan bernilai ratusan ribu ringgit,” katanya kepada Kosmo!.
Dia menjangkakan harga emas akan turun lagi dalam tempoh sehari dua ini kerana trend penurunan sangat ketara sejak konflik di Asia Barat.
Menurutnya, premisnya tidak lagi menjual emas terpakai iaitu RM459 segram kerana harga barang kemas baharu ketika ini dianggap sudah murah.
“Sebenarnya, ramai juga pengunjung datang untuk meninjau harga semasa emas kerana mereka tahu harga akan turun lagi selepas ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE















