KOTA BHARU – Peminat barang kemas terkejut apabila harga emas merudum dalam tempoh dua bulan sahaja selepas melonjak sehingga RM700 segram pada Januari lalu.
Seorang pekerja swasta, Siti Aisyah Hamdan, 38, berkata, dia yang bekerja di ibu negara terkejut melihat penurunan harga emas ketika pulang beraya di kampung.
Katanya, dia turut mengambil peluang membeli sebentuk cincin pada harga RM2,500 selepas melihat harga emas turun RM549 segram kelmarin berbanding lebih RM600 bulan lalu.
“Membeli emas ini adalah satu pelaburan jangka panjang kerana kita tidak tahu sama ada harganya akan naik atau turun selepas ini.
“Apabila harga emas turun, kita ambil peluang untuk membeli barang kemas kerana tidak tahu bila lagi boleh dapat harga murah,” katanya.
Seorang kontraktor, Arifin Mat, 65, berkata, dia datang ke Pasar Besar Siti Khadijah kelmarin untuk meninjau harga gelang emas buat isterinya.
“Saya pun terkejut melihat harga emas turun mendadak. Tak sangka konflik di Asia Barat ketika ini memberi kesan besar kepada harga semasa emas di negara ini terutamanya Kelantan.
“Saya belum buat keputusan untuk beli barang kemas lagi kerana ramai yang meramalkan harga emas akan turun lagi selepas ini,” katanya.
Di Kuala Terengganu, seorang peminat emas, Nurul Syahirah Ghani, 32, yang menetap di Cheras, Kuala Lumpur berkata, dia memang gemar membeli barang kemas setiap kali pulang ke kampung di Terengganu.
“Kebetulan saya dapat tahu harga emas tengah turun sekarang ini. Terus beli seutas gelang emas ‘preloved’ (terpakai),” katanya kepada Kosmo! di Pasar Besar Kedai Payang.
Amira Nia Ahmad, 30, yang menetap di Shah Alam, Selangor pula mahu membeli cincin emas.
“Saya sudah tinjau beberapa kedai emas untuk mencari cincin emas yang berkenan serta sesuai dengan saiz jari saya.
“Jiran-jiran saya juga ada kirim beli barang kemas. Harga emas di Terengganu jauh lebih murah berbanding di Shah Alam,” katanya.
Di Ipoh, seorang suri rumah, Asmah Othman, 45, berkata, harga emas yang murah ketika ini menarik minatnya untuk membeli barang kemas koleksi baharu.
“Sebelum ini harga terlalu mahal, jadi untuk beli pun fikir berkali-kali.
“Sekarang harga sudah jatuh, jadi saya ambil peluang untuk membelinya. Beli emas tidak rugi, ia adalah pelaburan masa depan,” katanya.
Bagi P. Rajamah, 76, kali terakhir dia membeli barang kemas adalah beberapa tahun lalu ketika harganya sekitar RM300 segram sahaja.
“Kalau nak tunggu harga turun sehingga RM300 lagi, agak mustahil dan harga yang turun ketika ini pun sudah cukup murah. Saya beli barang kemas untuk pakai. Hari ini (semalam) pun saya beli gelang dan cincin,” katanya.
Seorang lagi peminat emas, M. Mahadevi, 38, berkata, dia sering memantau harga emas di pasaran secara dalam talian dan tidak melepaskan peluang membeli barang kemas apabila harga menjunam.
“Sebelum ini harga emas pernah mencecah RM760 segram berbanding RM570 segram pada tahun lalu,” katanya. -KOSMO! ONLINE
















