DALAM konteks sukan moden, cabaran kesihatan mental tidak lagi terhad kepada atlet di gelanggang atau padang semata-mata.
Atlet e-sukan atau esport yang semakin mendapat pengiktirafan sebagai atlet profesional turut berdepan tekanan yang tidak kurang hebatnya.
Jadual latihan yang panjang di hadapan skrin, persaingan global tanpa henti, tekanan untuk menang serta pendedahan berterusan kepada kritikan di media sosial menjadikan kesihatan mental atlet e-sukan isu yang wajar diberi perhatian serius.
Walaupun tidak melibatkan aktiviti fizikal berat, tuntutan kognitif, emosi dan psikologi dalam e-sukan adalah tinggi sekali gus menuntut pendekatan sokongan kesihatan mental yang bersesuaian dan menyeluruh.
Bersempena itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), menerusi Esports Integrated (ESI) telah mengadakan bengkel ‘Mental Resilience & Performance Accelerator’ yang berlangsung pada 27 Januari lalu melibatkan 50 orang peserta di Mines Beach Resort Hotel & Wellness, Seri Kembangan, Selangor.
Bengkel intensif di bawah Malaysia Esports Accelerator Programme (MEAP) ini memfokuskan kepada pembangunan aspek psikologi kritikal seperti tumpuan perhatian tahap tinggi, kebolehan membuat keputusan pantas dan kecekapan beraksi di bawah tekanan.
Peserta termasuk komuniti e-sukan, atlet, pengurus dan jurulatih pasukan.

Program ini bermula dengan perkongsian daripada jaguh boling ten-pin negara, Muhammad Rafiq Ismail berkenaan disiplin dan kekuatan mental yang diamalkannya sebagai atlet bertaraf dunia sebelum peserta terlibat dalam perbincangan meja bulat.
Perbincangan mengkhususkan kepada empat topik utama iaitu ketahanan mental khusus untuk e-sukan, disiplin latihan dan kerangka kerja prestasi, kepimpinan serta komunikasi pasukan dan kesejahteraan atlet bagi memastikan prestasi yang konsisten.
Ketua Pegawai Eksekutif ESI, Ahmed Faris Amir berkata, langkah ini merupakan usaha proaktif dalam memastikan ekosistem e-sukan Malaysia tidak hanya bergantung kepada kemahiran teknikal semata-mata, malah diperkukuh dengan disiplin dan daya tahan mental yang kuat.
“Program ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan KBS melalui ESI dalam memartabatkan industri e-sukan negara sebagai salah satu pencabar utama di rantau ini.
“Muhammad Rafiq Ismail dipilih kerana pengalaman beliau sebagai atlet bertaraf dunia yang beraksi di peringkat antarabangsa menuntut tahap disiplin, fokus dan ketahanan mental yang tinggi, selari dengan cabaran psikologi yang dihadapi atlet e-sukan.
“Walaupun datang daripada sukan fizikal yang berbeza, prinsip pengurusan tekanan, kekuatan mental, konsistensi prestasi dan keupayaan beraksi di bawah tekanan tinggi yang diamalkan beliau bersifat sejagat serta relevan untuk diaplikasikan dalam dunia e-sukan,” katanya kepada K-Remaja.
Muhammad Rafiq Ismail merupakan antara atlet boling ten-pin paling berjaya dalam sejarah sukan Malaysia yang mencipta kejayaan di peringkat dunia dan Asia.
Atlet berusia 29 tahun ini mencatat sejarah sebagai atlet Malaysia pertama menjuarai acara perseorangan lelaki di Kejohanan Boling Ten-Pin Dunia 2018.
Di peringkat Asia, Rafiq turut merangkul kejuaraan Masters lelaki dalam Kejohanan Boling Ten-Pin Asia 2023 selain menyumbang pingat emas dalam beberapa acara berpasukan.
Rafiq juga pernah menjuarai Samho Cup di Korea Selatan serta dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara 2018 susulan prestasi cemerlangnya di pentas antarabangsa.
Berbesar hati dengan kepercayaan ESI kepadanya, Rafiq berharap perkongsiannya dapat memberi manfaat kepada atlet-atlet terlibat.
“Disiplin dan ketahanan mental bukan sahaja membentuk prestasi saya di gelanggang boling, malah ia adalah kunci untuk mengatasi tekanan dalam apa jua bidang.
“Dalam e-sukan, cabaran mungkin berbeza, tetapi prinsip fokus, konsistensi dan kemampuan mengawal tekanan adalah sama.
“Saya harap perkongsian pengalaman ini dapat membantu atlet-atlet muda membina kekuatan mental mereka dan mencapai potensi terbaik,” katanya.
















