fbpx
Di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (Akta 709), pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1,000,000 selain penjara serta kedua-duanya.

Silap komen masuk lokap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Suatu ketika dulu, kedai kopi menjadi lokasi orang lelaki bertemu dan bersembang tentang isu semasa. Bagi kaum wanita, biasanya acara ‘membawang’ dilakukan di rumah atau pejabat.

Selepas itu, telefon bimbit mengambil alih tugasan tersebut. Jika ada topik atau cerita hangat, telefon akan berdering dan perbualan kadangkala memakan masa sampai berjam-jam.

Masa bersilih ganti, sekarang kita tidak perlu lagi ke kedai kopi untuk mengetahui sesuatu isu kerana maklumat boleh diperoleh di hujung jari. Dengan kemunculan media sosial ia memberi akses mudah untuk kita berhubung dengan sesiapa sahaja termasuk ‘stranger’.

Di sinilah netizen memainkan peranan mereka. Jika ada cerita panas, maka berbondong-bondong netizen datang dan meninggalkan komen masing-masing.

Ada yang berkongsi pengalaman, ada yang memberikan pandangan dan nasihat, malah ada yang datang untuk mengecam, menghina, membuka aib dan memalukan orang lain.

Isu terbaharu melibatkan bekas pegawai tertinggi tentera dan isterinya yang dituduh atas dakwaan menerima wang hasil aktiviti haram baru-baru ini.

Penulis perhatikan ada segelintir netizen yang mahu menjadi ‘hero maya’ dengan berkongsi maklumat tidak sepatutnya. Walaupun sebahagian maklumat seperti nombor kad pengenalan dan alamat ‘ditutup’, namun sikap gigih mereka dalam mencari maklumat peribadi itu yang paling ditakuti.

Sebelum ini, pengamal media juga tidak terkecuali menjadi mangsa serangan netizen, malah ada menerima ugutan jenayah.

Maklumat dan gambar peribadi wartawan ditularkan dalam media sosial hanya kerana berita yang ditulis tidak menepati selera atau tidak sehaluan dengan mereka. Itu dulu, tetapi sekarang netizen perlu lebih berjaga-jaga.

Dalam ghairah menulis di media sosial, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya menyebarkan, mendedahkan atau memaparkan maklumat peribadi seseorang tanpa kebenaran di platform dalam talian. Perbuatan itu dikenali sebagai doxing.

Terdapat beberapa akta yang boleh dikenakan terhadap mereka yang melakukan perbuatan tersebut termasuk walau apa pun tujuannya antaranya Akta Perlindungan Data Peribadi dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Selain itu, tindakan juga boleh diambil mengikut Seksyen 507E dan 507F Kanun Keseksaan.

Di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (Akta 709), pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM1,000,000 berbanding RM300,000 sebelum ini selepas akta tersebut dipinda dan dikuatkuasakan bermula pada 1 April 2025 selain penjara maksimum selama tiga tahun atau kedua-duanya.

Prinsip perlindungan data peribadi ini terpakai kepada semua individu tanpa mengira latar belakang mereka. Jadi jangan hanya kerana terikut emosi marah, dendam atau iri yang sekejap, kita terpaksa bermalam dalam lokap.

Yang pasti, berani buat berani tanggung!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN