KUALA LUMPUR – Seorang pegawai Imigresen didakwa oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tujuh pertuduhan rasuah berjumlah RM5,100, dua tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Mohd. Rahmat Mat Yusoff, 47, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pegawai Imigresen yang bertugas di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia didakwa menerima suapan secara pemindahan atas talian menerusi tujuh transaksi berjumlah RM5,100 daripada seorang lelaki di sebuah bank di Kompleks Perbadanan Putrajaya.
Suapan tersebut diberikan sebagai dorongan kepada tertuduh yang kini digantung tugas bagi melepaskan warga asing daripada pemeriksaan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur Terminal 1 dan 2 yang dilakukan oleh jabatan itu di antara 28 Jun dan 16 Ogos 2024.
Pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 25 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan maksimum denda RM100,000 atau penjara 10 tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Haeeb mencadangkan jaminan RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin warganegara Malaysia beserta syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM dua bulan sekali, tidak mengganggu saksi-saksi perbicaraan pasport diserah kepada sehingga kes selesai.
Peguam bela, Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud mewakili Mohd. Rahmat tidak membantah syarat tambahan namun memohon agar anak guamnya dikenakan jaminan RM5,000 atas alasan isteri tertuduh merupakan suri rumah selain mempunyai tanggungan tiga orang anak.
“Tertuduh sudah berkhidmat dengan Imigresen sejak 2000, selama 25 tahun. Saya mohon satu jumlah jaminan sekitar RM5,000, sesuai untuk memastikan kehadiran. Tiada bantahan terhadap permohonan syarat-syarat tambahan,” katanya.
Mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan semula bagi serahan dokumen pada 27 Februari ini. – KOSMO! ONLINE














