fbpx
‘Jenggo’ di satu lubuk menghala ke hilir dari jeti (kiri) dan bot besar dan berbumbung sesuai untuk melatih anak-anak memancing udang galah (kanan).

Aura udang galah Sungai Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KALI ini, saya bersama empat rakan ingin menjejak ‘jenggo’ iaitu panggilan khusus untuk udang galah bersaiz besar. Lokasi pancingan kami adalah di sekitar jeti Wak Sakel, Tanjung Siam, Kampung Kuantan, Kuala Selangor.

Jarak perjalanan dari Gombak ke jeti tersebut lebih kurang sejam melalui Lebuh Raya Latar.

Tempahan bot perlu dibuat sebulan awal kerana biasanya akan habis disewa pemancing terutamanya jika tarikh trip jatuh pada masa terbaik, iaitu ketika arus pasang surut kecil dengan keadaan cuaca bagus.

Hal ini kerana jarak lokasi pancingan yang tidak jauh dari Lembah Klang menyebabkan ramai pemancing dari Kuala Lumpur dan sekitar Selangor berpusu-pusu datang memancing udang galah, sehinggakan kawasan sungai menjadi sesak serta penuh macam pesta.

Memancing udang galah di Sungai Selangor lebih kurang sama tekniknya dengan kawasan lain.

Cuma di sini, lubuk-lubuk udang galahnya agak terhad. Jadi siapa turun awal pagi, dia akan dapat parkir bot di lubuk-lubuk yang berpotensi seperti alur sungai dalam.

Profil sungai ini adalah sempit dan berliku-liku. Kawasan memancing yang kurang berpotensi sudah tentunya di kawasan air tohor, dan paling tidak menyeronokkan pemancing terpaksa berpanas.

Trip

Berbekalkan lima set pancing setiap seorang, kami bergerak ke hilir terlebih dahulu semasa air sedang surut untuk mencari lubuk yang mempunyai pokok-pokok rimbun untuk berteduh daripada terik matahari.

Umpan yang digunakan di sini mudah sahaja iaitu udang beras, cacing tanah dan perumpun nipah.

Umpan-umpan ini boleh dicari sendiri atau dibeli kerana ada peniaga berhampiran yang menjualnya.

Jeti Wak Sakel, antara jeti bot sewa yang popular di Sungai Selangor. Terdapat pelbagai jenis enjin sangkut dipadankan dengan bot yang berbumbung atau tidak.

Kaedah satu perambut dengan dua mata kail saiz antara nombor tiga atau empat dipadankan dengan batu ladung hidup saiz lima amat sesuai digunakan di sini.

Namun, saiz udang galah di sini agak kecil berbanding udang yang mendiami sungai lebih besar seperti Sungai Perak, Sungai Pahang atau Sungai Muar.

Ini berkemungkinan kerana tekanan memancing daripada ramai orang yang saban kali berkunjung ke sini berbanding di tempat-tempat lain.

Mengikut pengalaman saya di sini, kebiasaannya udang galah akan mula makan umpan apabila air menyorong surut.

Ia kurang bernafsu apabila air sudah turun separuh, dan akan makan semula umpan apabila air bunga pasang.

Jika air sejuk dan laju, udang galah biasanya akan diam pegun di reba-reba di dalam sungai.

Kadangkala, ada ikan yang akan meragut umpan yang dikhususkan untuk udang galah terutama ketika air pasang.

Ikan yang biasa diperolehi adalah gelama, baung, lundu, duri bagok dan kurau janggut. Ada pemancing yang menganggap ikan-ikan ini sebagai ‘pengacau’, namun bagi saya, semuanya adalah rezeki. Kalau mahu makan, ambil bawa balik, jika tidak mahu, boleh dilepaskan semula.

Suasana petang

Biasanya, sebelah petang di sini akan menjadi lebih meriah kerana waktu ini udang galah akan galak memakan umpan sehinggalah senja.

Jika air mula naik pasang, semua joran akan bergegar dan hujung joran akan turun naik menandakan umpan ‘dikerjakan’ udang galah.

Sememangnya, udang galah di sini garang dan rakus menggetu umpan, walaupun bersaiz kecil.

Tangkapan udang galah ini ketika air sungai mulai surut.

Tarikannya seolah-olah induk bersaiz besar (jenggo), walaupun yang naik hanya udang bersaiz ibu jari kaki.

Di Sungai Selangor ini, terdapat banyak jeti yang menyediakan sewaan bot dengan tawaran harga pelbagai, sama ada bot berbumbung atau tanpa bumbung. Setiap jeti sekurang-kurang­nya mempunyai antara 10 hingga 15 buah bot untuk disewa.

Permintaan ketika hari cuti umum, Sabtu dan Ahad tetap tinggi, walaupun ketika air pasang besar serta keadaan air tidak cantik atau sejuk.

Kebanyakan pemancing di sini gemar membawa sendiri bot, dan ada juga jeti yang menyediakan tekong untuk memancing udang dengan menggunakan bot bersaiz lebih besar.

Memancing udang di sini merupakan alternatif santai bagi mendapat ilmu baharu untuk menduga udang galah lebih bagak di sungai-sungai besar seperti Sungai Perak dan Sungai Pahang.

Pengalaman yang diperolehi di sini amat penting kerana udang memakan umpan dengan sentapan kasar berbanding jika memancing di Sungai Bernam dan Sungai Muar yang memakan umpan secara ‘tidur’.

Istilah ini diberi oleh pemancing udang galah tegar kerana tiada langsung isyarat getuan di hujung joran.

Setiap kawasan, cara udang galah makan umpan adalah berbeza-beza.

Ini menjadikan pemancing lebih peka dan sensitif dengan henjutan serta tarikan udang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN