SALAH satu sambutan kejohanan e-sukan terbesar di rantau Asia Pasifik melabuhkan tirainya di New Delhi, India apabila Finale Asia Pacific Predator League 2026 berakhir selepas dua hari penuh aksi berintensiti tinggi, hiburan langsung dan pengalaman permainan teknologi terkini.
Bertempat di Bharat Mandapam Convention Centre, acara tersebut menghimpunkan penyertaan pemain dari 14 negara rantau Asia Pasifik dengan kehadiran 4,000 penonton, sekali gus mencipta satu kemuncak yang sukar dilupakan.
Asia Pacific (APAC) Predator League ialah kejohanan e-sukan peringkat Asia Pasifik yang dianjurkan oleh Acer melalui jenama Predator, khusus untuk permainan kompetitif bertaraf antarabangsa.
Matlamat utama penganjuran APAC Predator League adalah untuk membangunkan bakat e-sukan, mengukuhkan ekosistem permainan kompetitif serta menyatukan pemain, peminat dan pencipta kandungan di seluruh Asia Pasifik melalui platform bertaraf global.
Sepanjang dua hari penganjuran, Bharat Mandapam Convention Centre berubah menjadi arena e-sukan yang penuh tenaga apabila pasukan finalis dari seluruh Asia Pasifik bersaing merebut Perisai Predator bagi dua judul permainan utama iaitu DOTA 2 dan VALORANT.
Selepas pertarungan sengit bersama pasukan-pasukan hebat dari Asia Pasifik, pasukan dari Malaysia, Myth Avenue Gaming (MAG) sekali lagi membuktikan kehebatan apabila mengekalkan kejuaraan untuk tahun kedua berturut-turut bagi kategori DOTA 2.
Mereka berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$65,000 (RM259,800).
Menambahkan kemanisan kejayaan pasukan, peserta bernama egxrdemxn dari MAG dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) DOTA 2, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$10,000 (RM40,000) atas persembahan permainan yang luar biasa, ketenangan dalam situasi bertekanan tinggi serta aksi konsisten yang memberi impak besar sepanjang kejohanan.
Wakil pasukan, Chan ‘Chunky’ Kok Khin berkata, apabila bersaing di peringkat APAC, sudah tentu mereka mengimpikan untuk menang.
“Kami sudah lama merancang strategi permainan dan kami gembira serta bangga apabila berjaya muncul juara,” katanya.
Bagi kategori VALORANT, kemenangan menjadi milik pasukan dari Vietnam iaitu Fancy United Esports, sekali gus membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah AS$65,000 (RM259,800).
Satu lagi kumpulan DOTA 2 dari Malaysia, Atlantis 2.0 muncul di tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai bernilai AS$7,500 (RM30,000).

Mengulas kejayaan penganjuran Predator League 2026, Presiden Operasi Pan-Asia Pasifik Acer, Andrew Hou berkata, Predator League menjadi bukti bagaimana e-sukan menyatukan komuniti.
“Predator League 2026 sekali lagi membuktikan bagaimana e-sukan mampu menyatukan bakat, semangat dan inovasi dari seluruh Asia Pasifik. Setiap perlawanan yang disaksikan sepanjang kejohanan ini mencerminkan dedikasi serta kemahiran pasukan yang terus mengangkat landskap persaingan.
“Penganjuran perlawanan akhir di India merupakan satu pencapaian penting, dengan sokongan penonton yang membawa tenaga dan semangat luar biasa ke arena.
“Apa yang kami alami di sini bukan sekadar penutup sebuah kejohanan tetapi satu perayaan terhadap kekuatan ekosistem e-sukan APAC yang semakin berkembang.
Predator kekal komited dalam membangunkan pemain, menyokong komuniti serta meneroka batas baharu teknologi permainan.
“Kami berbangga berdiri bersama setiap atlet, peminat dan pencipta kandungan yang menjadikan edisi ini benar-benar bermakna,” jelasnya.
Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusan Acer India, Harish Kohli berkata, pertandingan itu telah menunjukkan sejauh mana India telah berkembang sebagai destinasi e-sukan bertaraf dunia.
“Sepanjang dua hari itu, kami menyaksikan persembahan bertaraf dunia, sambutan luar biasa daripada peminat serta suasana yang benar-benar mencerminkan masa depan permainan kompetitif.
“Membawa perlawanan akhir ini ke New Delhi mengukuhkan lagi pengaruh India yang semakin meningkat dalam komuniti permainan antarabangsa.
“Di Acer, kami percaya dalam memperkasa pemain dengan teknologi dan platform yang membantu mereka bersaing di peringkat tertinggi dan Predator League merupakan bukti komitmen tersebut. Edisi ini telah menetapkan penanda aras baharu dan kami berbesar hati menjadi tuan rumah kepada perhimpunan ikonik bakat, inovasi dan hiburan,” katanya.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2018, Predator League telah berkembang menjadi salah satu harta intelek e-sukan paling berpengaruh di rantau Asia Pasifik.














