PETALING JAYA – Malaysia Aviation Group (MAG) terus memperkukuh asas operasinya merentasi portfolio syarikat penerbangan Kumpulan, disokong piawaian keselamatan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, peningkatan kebolehpercayaan operasi serta tumpuan berterusan terhadap penyampaian perkhidmatan.
Malaysia Airlines berjaya memperbaharui pendaftaran Audit Keselamatan Operasi (IOSA) daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), sekali gus melanjutkan tempoh pensijilannya sehingga Julai 2028.
Syarikat penerbangan itu turut menerima penarafan keselamatan Seven Star PLUS daripada AirlineRatings.com, hasil penilaian bebas terhadap piawaian dalam pesawat dan amalan operasinya.
Sementara itu, Firefly mengekalkan Penarafan Keselamatan Seven Star serta pendaftaran IOSA yang sah sehingga Februari 2028.
Pencapaian tersebut disokong prestasi operasi kukuh di seluruh portfolio syarikat penerbangan Kumpulan. Pada separuh pertama 2026, Malaysia Airlines merekodkan purata Prestasi Tepat Masa (OTP) sebanyak 90.8 peratus, secara konsisten mengatasi sasaran operasi dengan prestasi tertinggi 93.8 peratus pada April.
Dalam tempoh sama, Firefly mencatat purata OTP sebanyak 92.5 peratus, iaitu paras tertingginya dalam tempoh lima tahun, dengan prestasi tertinggi 94.2 peratus pada Mac.
Peningkatan kebolehpercayaan jadual penerbangan itu menyumbang kepada pengurangan hampir 50 peratus tahun ke tahun dalam maklum balas berkaitan kelewatan penerbangan.
Ketua Pegawai Eksekutif, Perniagaan Syarikat Penerbangan MAG, Bryan Foong berkata, keselamatan menjadi asas kepada setiap aspek operasi Kumpulan dan kekal sebagai tanggungjawab bersama yang dipikul setiap warga organisasi.
“Pensijilan keselamatan terkini, bersama prestasi operasi Firefly yang mencatat rekod, mencerminkan usaha kolektif seluruh warga kerja kami.
“Pencapaian ini mengukuhkan tumpuan berterusan kami untuk mengekalkan piawaian tinggi serta menyediakan pengalaman perjalanan yang selamat, boleh dipercayai dan konsisten kepada pelanggan di seluruh rangkaian,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE














