KETIKA ini, motosikal kustom di Malaysia semakin mendapat tempat kalangan pengguna.
Malah, banyak model motosikal kustom telah dilancarkan di pasaran oleh beberapa syarikat pengeluar.
Thunder Motorcycles turut memeriahkan pasaran dengan melancarkan Thunder Custom LS250-S baru-baru ini di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor.
Thunder Custom LS250-S menampilkan konsep bobber custom yang diilhamkan daripada budaya kustom Jepun.
Thunder Motorcycles merupakan jenama global yang dimiliki dan dipantau oleh dua nama besar dalam dunia kustom iaitu pembina kustom terkemuka Jepun Noro Yuji-san dan pembina kustom No.1 China, Ka-san.
Di Malaysia, Bike Continent Sdn. Bhd. menjadi pengedar rasmi untuk motosikal itu.
Hasil kolaborasi eksklusif antara pembina kustom terkemuka Jepun dan China, digabungkan dengan kepakaran pembuatan berketepatan tinggi, Thunder Custom LS250-S menawarkan gaya bobber tulen yang memikat pandangan terus dari kilang.
Tiada pengubahsuaian mahal diperlukan selepas pembelian dan motosikal ini hadir sebagai sebuah jentera lengkap dan sedia untuk ditunggang.
Secara ringkas, konsep bobber adalah membuang atau mengubah suai bahagian motosikal yang tidak penting bagi hasilkan reka bentuk yang ringkas dan ringan.
Ciri-ciri motosikal bobber cenderung memiliki rangka dan tempat duduk yang rendah dengan reka bentuk minimalis, manakala komponen yang tidak penting dibuang serta mempunyai pelana tunggal.
Selain itu, motosikal ini juga mempunyai tangki minyak kecil berbentuk kacang dan dilengkapi tayar lebar terutama pada bahagian belakang.
Mengenai Thunder Custom LS250-S, motosikal ini dikuasakan oleh enjin V-Twin dua silinder 249cc dengan sistem suntikan bahan api yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 18hp pada 8,000rpm dan tork maksimum 18Nm pada 6,500rpm.
Kuasa motosikal ini disalurkan ke tayar belakang melalui transmisi manual lima kelajuan dengan sistem pacuan akhir menggunakan rantai.
Kelajuan maksimum yang boleh dicapai adalah 120km sejam (120km/j). Motosikal ini hadir untuk tunggangan santai dan kelajuan sebegitu sudah mencukupi bagi penunggang yang tidak mementingkan kelajuan.

Dalam pada itu, Thunder Custom LS250-S ini dilengkapi rim 16 inci serta brek cakera di hadapan dan belakang. Hadir dengan rim jejari berprofil lebar mengekalkan daya tarikan retro pada motosikal ini.
Dengan ketinggian tempat duduk sekitar 650mm, menjadikannya mesra penunggang pelbagai ketinggian.
Rangka motosikal ini dibina khas untuk konsep bobber dengan garisan minimalis dan kemasan yang kemas.
Selain itu, motosikal ini juga dilengkapi ekzos buatan tangan yang menghasilkan bunyi yang garang.
Apa yang lebih menarik, motosikal ini dilengkapi sistem suspensi hadapan springer fork gaya klasik yang memberikan rupa vintaj ikonik serta penampilan luar biasa.
Motosikal ini hadir dalam dua pilihan suspensi belakang iaitu softtail dan hardtail.
Bagi versi softail ia menggunakan monoshock tersembunyi, manakala bagi hardtail pula dilengkapi dengan sistem spring di bawah tempat duduk.
Motosikal ini hadir dengan tangki bahan api berkapasiti 7 liter mengekalkan bentuk ‘peanut tank’ klasik yang menjadi identiti bobber.
Motosikal ini kelihatan begitu minimalis dan bahagian lain pada Thunder Custom LS250-S direka dengan cukup ringkas termasuk butang kawalan untuk lampu, signal dan lain-lain.
Selain itu, motosikal ini hadir dengan meter gabungan analog dan digital ringkas.
Secara keseluruhan reka bentuk Thunder Custom LS250-S menampilkan rupa motosikal kustom yang siap terus dari kilang tanpa memerlukan pengubahsuaian tambahan.
Malah, pelancaran Thunder Custom LS250-S memperkukuhkan kehadiran motosikal gaya kustom bagi segmen di bawah 250cc di Malaysia.
Thunder Custom LS250-S ditawarkan pada harga mampu milik iaitu RM23,788 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.












