TAMPIN – Seorang lelaki autistik membuktikan kekurangan diri bukan penyebab mundur dalam kehidupan apabila dia berjaya membeli rumah dan menyara dirinya hasil menjual jambu potong sejak lapan tahun lalu di Benteng Arena Tampon di sini.
Muhammad Amir Hasnol, 29, berkata, perniagaan itu dimulakan bapanya, Hasnol Sabtu, 60, 15 tahun lalu dan kini diteruskannya bagi memastikan dia mampu menjana pendapatan sendiri dan menjaga adik bongsu, Nur Nadia, 20, yang juga autisme.
“Seronok berniaga tetapi masih lagi sukar mengira jika tempahan banyak hingga terpaksa guna kalkulator atau bertanya pada bapa.
“Syukur hasil jualan jambu potong saya mampu membeli sebuah rumah di Pegoh, Alor Gajah, melaka dan berhasrat membeli kelengkapan, motosikal dan kereta pula selepas ini. Saya perlu mahir mengira selepas ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Muhammad Amir, hasil perniagaan itu juga diharapkan dapat membantunya menjaga adik bongsunya.
Sementara itu, Hasnol berkata, dia mempunyai lima anak berusia 20 hingga 35 tahun dengan dua daripada mereka merupakan orang kelainan upaya (OKU) autisme manakala tiga lagi sudah bekerja sendiri.
Katanya, sejak 18 tahun lalu, dia terpaksa berhenti kerja sebagai penyelia kabel kerana mahu menguruskan anak-anak OKU yang perlu kerap dihantar ke hospital.
“Saya akhirnya memulakan perniagaan di bawah nama Joe Jambu ini. Alhamdulilah, rezeki memang ada walaupun berdepan risiko pada waktu cuti sekolah.
“Jika hari sekolah pelanggan ramai sikit jualan produk berasaskan jambu, air dan lain-lain lagi boleh cecah sebanyak RM300. Jika cuti sekolah, jualan sekitar RM100 sahaja,” katanya.
Menurutnya, dia sentiasa memberikan sokongan kepada anak-anaknya untuk berdikari mencari duit sendiri dan berharap agar anak-anaknya mampu untuk menguruskan diri lebih-lebih lagi dia juga sudah bergelar warga emas.
“Macam Amir dia masih boleh berdikari kerana autisme tahap satu, namun Nadia pula berbeza kerana autisme tahap 4 serta kadang-kala akan mengamuk sendiri. Jadi, memang perlu perhatian lebih. Saya didik anak-anak untuk saling membantu antara satu sama lain,” katanya.
Menurutnya, Amir kini mampu menguruskan perniagaan dengan memotong buah, menyediakan air jambu dan buah-buahan lain selain mengambil tempahan pelanggan.














