KUALA LUMPUR – Seorang graduan politeknik dilaporkan hilang sejak November lalu dan dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia selepas ditahan pihak polis di Jepun kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan telefon.
Setiausaha Agung Malaysia Humanitarian Organisation (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Faiq Zafran, 23, dipercayai dieksploitasi sindiket penipuan sebelum ditahan di Toyama Minami Police Station, Jepun dengan rampasan wang dianggarkan berjumlah kira-kira empat juta yen.
Menurut beliau, kes berkenaan dianggap luar biasa memandangkan sepanjang pengendalian MHO sejak 2020, tiada kes melibatkan rakyat Malaysia yang dieksploitasi sindiket penipuan dikesan di Jepun sebelum ini.
“Berdasarkan corak kes, mangsa dipercayai direkrut oleh individu yang dikenalinya untuk bekerja di luar negara sebelum dibawa ke Jepun. Kehilangan komunikasi sepenuhnya dengan keluarga adalah antara ciri utama mangsa yang berada dalam kawalan sindiket,” katanya pada sidang akhbar di pejabat MHO, Megan Avenue 1, hari ini.
Hishamuddin menjelaskan, Muhammad Faiq merupakan bekas pelajar sekolah berasrama penuh (SBP) dan baru menamatkan pengajian diploma di sebuah politeknik di Perlis pada September 2025 sebelum memaklumkan kepada keluarga mahu mencari pekerjaan di Kuala Lumpur pada November lalu.
“Tidak lama selepas itu, keluarga dimaklumkan bahawa mangsa berada di Jepun dan sejak 19 November 2025 dan tidak lagi dapat dihubungi. Kami mengesyaki berlaku eksploitasi dan aktiviti pemerdagangan manusia,” ujarnya.
Sementara itu, ibu mangsa, Noor Zuhaini, 46, berkata, anaknya ke Kuala Lumpur selepas menerima tawaran kerja daripada seorang rakan sebelum menaiki penerbangan Batik Air ke Jepun, dengan segala urusan pasport dan perjalanan diuruskan pihak lain.
Menurutnya, komunikasi terakhir melalui WhatsApp berlaku pada 18 November 2025 sebelum mesej terakhir darinya hanya menunjukkan satu tanda semak dan komunikasi terputus sepenuhnya sehingga kini.
“Saya cuma mahukan keadilan, kejelasan dan keselamatan anak saya. Jika dia masih hidup, saya mahu dia pulang dengan selamat,” katanya.
Noor Zuhaini berkata, sepanjang berada di Jepun, anaknya masih aktif berhubung dengan rakan-rakan melalui aplikasi Snapchat dan komunikasi berjalan seperti biasa sehingga 18 November 2025, dengan kemas kini terakhir menunjukkan lokasi mangsa berada di Shikoku, Jepun.
Tambahnya, keluarga hanya menerima maklumat mengenai penahanan anaknya melalui rakan yang menawarkan pekerjaan itu, selepas individu tersebut lama menghilang dan hanya muncul semula untuk memaklumkan bahawa Muhammad Faiq telah ditahan di balai polis.
Sehubungan itu, MHO menggesa Kementerian Luar Negeri melalui Wisma Putra serta Kedutaan Malaysia di Jepun untuk menyelaras bantuan perundangan dan mengesahkan status sebenar mangsa bagi memastikan beliau tidak dihukum sebagai penjenayah sekiranya terbukti menjadi mangsa eksploitasi.
Dalam masa sama, Hishamuddin turut mengingatkan golongan belia supaya lebih berhati-hati terhadap tawaran kerja di luar negara, termasuk di negara yang dianggap selamat seperti Jepun dan memastikan segala urusan pekerjaan dilakukan secara sah melalui permohonan visa kerja dari Malaysia.- KOSMO! ONLINE














