ALOR SETAR – Hampir dua bulan selepas banjir besar melanda Hatyai, industri pelancongannya masih belum pulih sepenuhnya kerana hanya separuh hotel yang boleh beroperasi buat masa ini, keadaan itu berlarutan sehingga Jun ini.
Presiden Persatuan Hotel Hatyai-Songkhla, Sitthipong Sitthiphataraprabha berkata, sebahagian pengusaha hotel juga teragak-agak untuk membuka semula premis mereka ekoran kos pemulihan yang tinggi serta kebimbangan banjir berulang.
“Sebuah hotel lama yang beroperasi selama beberapa dekad mengambil keputusan menutup operasi secara kekal kerana kos pengubahsuaian yang tinggi dan kebimbangan banjir boleh berulang pada tahun ini.
“Sebahagian besar Hatyai masih belum pulih dengan kerosakan yang teruk di mana-mana selain sisa-sisa bawaan banjir itu masih ada. Sehingga kini, belum ada tanda-tanda Hatyai akan pulih terutama menjelang Tahun Baharu Cina nanti.
“Sangat kecewa kerana selalunya pada musim perayaan seperti ini rakyat Malaysia akan ke Hatyai untuk bercuti. Orang Malaysia menyumbang kepada 91 peratus kedatangan pelancong ke Hatyai daripada 3.5 juta pelancong asing setahun,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau menambah, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan pemulihan industri pelancongan di Hatyai hanya akan berlaku sepenuhnya pada pertengahan 2026 ini.
“Sehingga sekarang kadar tempahan hotel terus merosot dengan lebih separuh bilik hotel kosong semasa cuti Tahun Baharu, manakala tempahan selepas cuti perayaan itu menjunam kepada sekitar 20 peratus.
“Perniagaan lain di Hatyai juga masih bergelut kerana banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih berdepan kekangan modal bagi kerja pembersihan, pembaikan serta penggantian stok, khususnya di kawasan tumpuan seperti Kim Yong Market,” jelasnya.
Sitthipong berkata, pihaknya turut menggesa kerajaan Thailand mempercepat pelaksanaan bantuan pemulihan termasuk skim pembiayaan kepada perniagaan serta langkah mitigasi banjir berskala bandar.
“Kita bimbang kelewatan bertindak boleh menyebabkan pelancong terus menjauhi Hatyai menjelang musim puncak hujung tahun ini,” ujarnya.














