KAPTEN Selangor FC, Faisal Halim terus mempamerkan impak luar biasa pada musim ini selepas membantu pasukan melakar kemenangan dramatik 2-1 pada aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia menentang Kelantan The Real Warriors, kelmarin.
Pada perlawanan itu, Faisal yang mesra dengan panggilan Mickey meledak dua gol untuk mencerahkan peluang skuad Gergasi Merah lolos ke pusingan suku akhir kejohanan berprestij itu musim ini.
Pada musim ini, Faisal telah meledak 14 gol buat Selangor FC dalam 29 penampilan untuk semua kejohanan yang disertai termasuk sembilan bantuan jaringan.
Pengendali Selangor FC, Kim Pan-gon seperti biasa tidak gemar mengulas tentang prestasi individu sebaliknya menghamburkan pujian kepada semua barisan pemain yang bekerja keras untuk melakar kemenangan penting.
Malah, pengendali dari Korea Selatan itu sangat gembira apabila dapat membantu pasukan melakar kemenangan hatrik sejak rasmi menjadi pengendali skuad Merah Kuning pada awal bulan ini.
Kata Pan-gon, keyakinan barisan pemain ketika ini sangat bagus tetapi dalam masa yang sama semua perlu kekal merendah diri kerana perjalanan masih panjang.
“Ini adalah perlawanan yang sukar dan pasukan lawan sangat berkualiti. Namun, kita berjaya bangkit pada babak kedua dan pujian wajar diberikan kepada semua pemain yang bekerja keras.
“Saya lihat kita dapat menguasai perlawanan dan terus dengan mentaliti kemenangan tetapi kita tidak boleh selesa kerana saingan musim ini masih panjang,” katanya.
Selangor FC akan melayan kunjungan KTRW pada aksi kedua di Stadium MB Petaling Jaya, Jumaat ini.














