PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memperoleh izin daripada Peguam Negara untuk mendakwa dua pegawai tertinggi Angkatan Tentera (ATM) serta seorang orang awam berhubung siasatan kes rasuah membabitkan kes tender perolehan pasukan itu.
Individu-individu berkenaan melibatkan bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Hafizuddiean Jantan serta isterinya, Salwani Anuar yang mana masing-masing akan didakwa dengan empat pertuduhan setiap seorang di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur esok.
Kedua-dua mereka akan didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Menurut SPRM, Hafizuddiean juga akan didakwa dengan dua lagi pertuduhan di bawah seksyen serta akta yang sama di Mahkamah Khas Rasuah Shah Alam, Selangor pada Jumaat ini.
“Manakala, Salwani juga akan didakwa dengan satu lagi pertuduhan di bawah seksyen serta akta yang sama di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu pada Isnin depan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Sementara itu, SPRM juga telah memperoleh izin mendakwa bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd. Nizam Jaafar di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur pada Jumaat.
“Beliau akan didakwa dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 susulan siasatan salah guna kuasa selain siasatan melibatkan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT).
“Ia merupakan satu pertuduhan pecah amanah di bawah Seksyen 409 serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan,” katanya.
SPRM juga ingin memaklumkan bahawa siasatan terhadap dua lagi pegawai kanan ATM kini berada di peringkat akhir.
SPRM berkata, kertas siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE














