fbpx
RAMAI pekerja Indonesia mencari rezeki dengan bekerja dalam sektor pembinaan.

Hantar 20 juta rupiah ke kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Pengukuhan nilai mata wang ringgit berban­ding rupiah sejak kebelakangan ini memberi sinar baharu buat ribuan pekerja warga Indonesia di negara ini apabila hasil titik peluh mereka kini bernilai lebih tinggi apabila dihantar pulang ke tanah air.

Ketika ini, nilai RM1 adalah bersamaan kira-kira 4,167 rupiah, sekali gus membolehkan wang kiriman digunakan dengan lebih luas untuk perbelanjaan harian, pendidikan anak-anak dan pembinaan rumah di kampung halaman.

Kadar tertinggi ringgit berban­ding rupiah pada awal tahun 2025 adalah RM1 bersamaan 3,400 rupiah, sebelum me­lonjak kepada RM1 bersamaan 4,000 rupiah pada November 2025.

Seorang pembantu rumah, Suhanti, 55, berkata, kadar tukaran ringgit semasa membolehkan dia merealisasikan impian membina sebuah rumah di Bandung, Jawa Barat selepas hampir 15 tahun bekerja di Kelantan.

Katanya, dia menghantar sekitar RM5,000 atau hampir 20 juta rupiah setiap tiga bulan kepada keluarganya, berbanding sekitar 15 juta rupiah sebelum ini.

“Gaji bulanan saya RM1,700, tetapi majikan sering memberi ‘duit sampingan’ hampir setiap minggu. Pendapatan kasar boleh mencecah RM2,500 sebulan.

“Majikan sediakan makan, pakaian dan tempat tinggal, jadi hampir 85 peratus pendapatan dihantar untuk suami dan tiga anak di Bandung,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

PEKERJA Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia mampu menikmati gaji antara RM1,500 hingga RM2,000 sebulan.

Menurut Suhanti, kos pembinaan rumah di kampungnya mencecah hampir 700 juta rupiah, namun nilai ringgit yang semakin kukuh membantu mempercepatkan proses pembinaan.

“Apabila ringgit naik, nilai wang yang sampai ke Indonesia juga bertambah. Rumah yang sedang dibina dapat disiapkan lebih cepat,” katanya yang me­rancang bekerja di Malaysia lima tahun lagi.

Seorang pekerja buruh binaan, Wahid, 48, berkata, dia memperoleh bayaran sekitar RM100 sehari sebagai tukang rumah berbanding hanya kira-kira RM30 jika bekerja di Indonesia.

“Setiap bulan saya hantar RM1,000 untuk isteri dan lima anak. Selain kerja binaan, saya juga ambil upah potong rumput dan mengurut untuk tambah pendapatan,” katanya yang sudah lima tahun bekerja di Malaysia.

Sementara itu di Gua Musang, seorang warga Indonesia berjaya membina rumah yang selesa untuk keluarganya di kampung hasil gaji lumayan bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia.

Desi Aryani, 46, yang berasal dari Bandung, Jawa Barat berkata, dia sudah hampir 10 tahun berada di Malaysia untuk bekerja sebagai pembantu rumah.

DESI ARYANI bersyukur apabila dapat membina sebuah rumah yang selesa buat keluarganya di Bandung hasil gaji sebagai pembantu rumah.

Katanya, wang gaji yang dite­rima dalam mata wang ringgit sangat lumayan berbanding nilai rupiah di negaranya.

“Anggaran gaji yang saya te­rima RM1,800 sebulan. Setiap bulan saya akan hantar wang gaji sehingga RM1,500 ke kampung.

“Sepanjang tinggal di Malaysia, saya dapat berjimat kerana perbelanjaan makan dan minum ditanggung oleh majikan. Hasil bekerja di Malaysia, saya dapat membina rumah batu yang selesa untuk keluarga,” katanya yang mempunyai suami dan empat anak.

Menurut Desi, wang gaji yang diterima juga dapat digunakan untuk membayar yuran sekolah anak, bil utiliti dan simpanan kecemasan kerana suaminya hanya bekerja sebagai buruh binaan.

Katanya, dia bersyukur apabila pengukuhan mata wang ringgit baru-baru ini menyebabkan pendapatannya meningkat.

“Pada mulanya gaji saya hanya sekitar RM1,000 sebelum meningkat kepada RM1,800 sejak tahun lalu.

“Jika saya buat tukaran RM1,000 ketika ini, keluarga di Indonesia boleh dapat wang se­hingga 4.1 juta rupiah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN