DALAM kehidupan berumah tangga, persefahaman memainkan peranan penting dalam memastikan hubungan yang dibina berkekalan.
Jika sudah tidak ada persefahaman antara pasangan, tidak mustahil hubungan yang dibina atas dasar percintaan boleh terputus.
Itulah yang berlaku kepada seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Umai.
Perkahwinan yang dibina bersama suami tercinta selama hampir tiga tahun akhirnya terlerai kerana tiada persefahaman antara mereka.
“Saya dan suami berkahwin atas dasar sayang antara satu sama lain. Namun setelah berkahwin barulah saya mengerti bahawa kami tidak sesuai bersama,” katanya yang berusia hujung 20-an.
Sepanjang perkahwinan, mereka dikurniakan dengan seorang cahaya mata.
Sebagai seorang isteri bekerjaya, Umai mengakui dia penat untuk menguruskan rumah tangga.
Ujar Umai, suaminya langsung tidak membantu untuk menguruskan rumah tangga.
“Saya menyatakan hasrat untuk berhenti kerja dan memberi fokus untuk menguruskan rumah tangga.
“Namun begitu, suami tidak membenarkan saya berhenti kerja. Dia memberi alasan tidak mampu untuk menyara saya dan anak jika saya berhenti kerja,” jelasnya.
Umai turut memaklumkan, suaminya gagal menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga seperti yang sepatutnya.
Hal ini kerana segala urusan anak mereka akan diuruskan oleh Umai seorang.
Menurut Umai, dia mahu suaminya memahami peranan masing-masing, dan turut membantu dalam hal rumah tangga.
“Sebagai contoh, urusan anak semuanya saya urus sendirian. Setiap pagi, saya yang akan memandi dan menyiapkan anak, sebelum menghantarnya ke sekolah.
“Setiap pagi, suami saya akan melakukan halnya sendiri dan keluar pergi bekerja begitu sahaja.
“Malah, saya yang akan hantar dan ambil anak di sekolah pada setiap hari,” jelas Umai.
Selain itu, suaminya tidak mempunyai keinginan untuk meringankan tugas Umai dalam menguruskan hal di rumah.
Urusan seperti membersihkan rumah, membasuh baju, membuang sampah dan memasak, semuanya harus dilakukan oleh Umai seorang.
Sebagai wanita bekerja, Umai berasa penat untuk menguruskan semua hal tersebut sendirian.
Dia cuma mahu suaminya memahami bahawa semua urusan itu boleh dilakukan bersama. Bagaimanapun, suaminya malas untuk membantunya.
“Suami saya jika di rumah, dia sering bermain permainan video.
“Dia tidak ada rasa ingin membantu saya membuat kerja rumah.
“Jika bosan di rumah, dia akan keluar untuk melakukan kerja tambahan menjadi penghantar makanan dan membiarkan saya bersama anak di rumah.
“Kadang-kadang pada hujung minggu, saya akan keluar berdua sahaja dengan anak untuk bersantai kerana suami lebih memilih untuk melakukan kerja tambahan,” jelasnya.
Meskipun suaminya melakukan kerja tambahan pada hujung minggu, namun perbelanjaan rumah seperti bil utiliti tetap Umai kena bayar.
Selain itu, mereka juga sering bergaduh disebabkan hal makanan.
Umai berkata, suaminya suka makan masakan pedas, manakala dirinya tidak gemar sajian pedas.
“Jika saya masak, dia mahu saya hidangkan makanan pedas.
“Kalau tidak pedas, dia tidak mahu jamah makanan yang saya masak.
“Selalunya, saya akan mengalah dan masak mengikut seleranya. Jadi, saya perlu masak juadah lain yang tidak pedas untuk saya dan anak makan,” katanya.
Sepanjang mereka berkahwin, suaminya langsung tidak pernah memuji hasil masakannya.
Terkadang, dia berasa seperti tidak dihargai, biarpun sentiasa mengalah dalam pemilihan menu.
Lama-kelamaan, Umai merasakan kemanisan hidup berumah tangga dengan suaminya mula hilang sehingga terdetik dalam hatinya untuk berpisah.
Tambahan pula, Umai merasakan mereka berdua tidak ada persefahaman dalam banyak perkara. Setelah berfikir panjang, Umai mengambil keputusan untuk berpisah dengan suaminya.
Malah, suaminya tidak menunjukkan kesungguhan untuk berubah dan mempertahankan rumah tangga mereka. Dia juga dilihat seperti tidak keberatan untuk melepaskan Umai.
Akhirnya, mereka sah berpisah secara baik di salah sebuah Mahkamah Syariah di Lembah Klang.
















